PETALING JAYA: Pengeluar kereta nasional, Proton menjual 10,999 unit kenderaan pada Jun 2024 bagi pasaran domestik dan eksport sekali gus mengekalkan kedudukan kedua dalam carta jualan automotif.
Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, jumlah jualan untuk bulan tersebut terganggu akibat penutupan kilang selama seminggu yang dirancang bagi peningkatan operasi
Menurutnya, syarikat itu mencapai pegangan pasaran sebanyak 19.1 peratus untuk bulan lalu, bersamaan dengan angka pegangan pasaran tahun sehingga kini (YTD).
“Jumlah jualan untuk separuh pertama 2024 ditutup pada 73,696 unit, manakala jumlah volum industri (TIV) untuk bulan dijangka terendah untuk mana-mana bulan tahun ini.
“Sebanyak 57,700 unit dianggarkan terjual bulan lepas, lebih rendah daripada April di mana sebelum ini digelar sebagai bulan terendah akibat cuti perayaan yang panjang,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, beliau berkata, sepanjang Jun, syarikat itu memberi tumpuan kepada langkah-langkah strategik yang akan memberikan hasil untuk jangka pendek dan panjang.
“Hasilnya, terdapat peningkatan serta-merta dalam volum jualan Proton X50 di mana ia kembali ke tangga teratas kelas kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B dengan 1,711 unit terjual sekali gus menunjukkan prestasi yang terbaik selama tiga bulan.
“Jumlah pengeluaran kenderaan dijangka meningkat selepas peningkatan operasi berjadual dan volum jualan juga diramal melonjak pada bulan-bulan akan datang,” katanya.
Selain itu, katanya, Proton S70 mendahului jualan sedan segmen C setiap bulan pada 2024 dengan 1,440 unit dijual pada Jun ekoran model kereta yang menarik perhatian pembeli.
Beliau berkata, Proton Saga yang sentiasa menjadi tarikan mencatatkan jualan 5,441 unit pada bulan yang sama, menjadikan jumlah jualan YTD kepada 34,838 unit.
“Secara purata, lebih 5,800 unit telah dijual setiap bulan, menjadikan model tersebut merupakan salah satu kenderaan yang terlaris di negara ini.
“Bagi Proton Persona pula, lebih banyak mencatatkan kejayaan apabila jualan 1,309 unit pada Jun memadai untuk menduduki tempat kedua teratas dan mengekalkan kedudukannya sebagai model sedan segmen B yang kedua terlaris tahun ini,” ujarnya.
Model-model yang lain seperti Proton X70 dan Proton X90 mencapai jualan sebanyak 481 unit dan 248 unit.
Sementara itu, Proton Iriz menamatkan bulan Jun dengan 369 unit terjual, menduduki tempat keempat dalam kategori hatchback segmen B. – UTUSAN