Projek infrastruktur mega dijangka diumum selepas Belanjawan 2025 - Utusan Malaysia

Projek infrastruktur mega dijangka diumum selepas Belanjawan 2025

PROJEK infrastruktur mega dijangka bakal diumumkan selepas Belanjawan 2025. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Projek pembinaan awam berskala besar yang dinanti-nantikan oleh pemain industri dijangka akan diumumkan selepas Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan pada Oktober depan, menurut Aminvestment Bank.

Firma penyelidikan itu berkata, hal ini akan membolehkan kerajaan melaksanakan pelan rasionalisasi subsidi petrol RON95 seterusnya mempunyai kedudukan kewangan yang lebih stabil.

Menurutnya, pasaran telah lama mempertimbangkan bahawa projek-projek besar kerajaan sedang berjalan tetapi realitinya berbeza kerana rundingan masih berterusan dan pengurusan syarikat-syarikat pembinaan memberi isyarat yang kelulusan hampir diperolehi.

“Kami berpendapat kerajaan kemungkinan hanya akan membuat pengumuman selepas pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober 2024,” katanya dalam nota penyelidikan.

Sehubungan tu, Aminvestment Bank menggambarkan sektor pembinaan tempatan kini sedang menunggu pelbagai peluang bagi projek infrastruktur mega.

“Semua pemain industri sudah bersedia; tetapi sehingga ia berlaku, mereka hanya mengambil apa yang dapat dicapai untuk sementara waktu.

“Oleh itu, kami dapati sukar bagi industri ini mencapai margin keuntungan kasar (GP) melebihi 10 peratus yang dicapai sebelum pandemik,” katanya.

Aminvestment Bank turut mengekalkan saranan ‘neutral’ bagi sektor pembinaan, dan berpendangan pemain industri bagi sektor itu hanya akan mencapai GP dalam julat enam hingga sembilan peratus.

Sementara itu, firma penyelidikan itu turut mengulas mengenai kos inflasi yang didakwa berubah secara drastik dalam dua bulan terakhir.

Katanya, harga simen misalnya telah melonjak berikutan penyasaran subsidi diesel walaupun secara teknikal, ini sepatutnya tidak berlaku kerana sektor pembinaan tidak pernah menerima subsidi diesel.

“Bagaimanapun kita boleh mengandaikan bahawa beberapa pihak dalam industri telah mendapat manfaat daripada dasar ini dan kini cuba meneruskan peningkatan kos tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya