PPZ-MAIWP terima RM55.46 juta bayaran zakat perniagaan - Utusan Malaysia

PPZ-MAIWP terima RM55.46 juta bayaran zakat perniagaan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar (tengah), menunjukkan replika cek jumlah pungutan zakat korporat pada Majlis Penyerahan Zakat Korporat 2024, di Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini menerima bayaran zakat perniagaan kira-kira RM55.46 juta daripada 25 syarikat dalam Majlis Zakat Korporat 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, kutipan zakat PPZ-MAIWP meningkat sebanyak 10 peratus iaitu RM511 juta dari Januari hingga Jun tahun ini, berbanding RM462 juta dalam tempoh yang sama 2023.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan zakat ini, sejumlah RM75 juta (15 peratus) adalah daripada kutipan zakat perniagaan.

“Ini sekali gus membuktikan bahawa zakat terus dilihat sebagai kewajipan utama yang perlu dilaksanakan.

“Dalam pada itu, ini juga menunjukkan hebahan berzakat telah mencapai sasaran dan diharapkan lebih banyak lagi syarikat-syarikat yang akan berbuat demikian di masa yang akan datang,” katanya pada majlis tersebut.

Penyerahan zakat perniagaan tersebut disampaikan oleh wakil setiap syarikat kepada PPZ-MAIWP yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman.

Sementara itu, Mohd. Na’im berkata, selaku menteri, beliau akan memastikan PPZ dan MAIWP dapat menjalankan fungsinya dengan baik dalam memberi kesedaran kepada masyarakat dalam melaksanakan Rukun Islam.

Katanya, ini termasuk dalam urusan agihan zakat serta bantuan-bantuan kepada asnaf dan mereka yang berkelayakan.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak RM577 juta zakat diagihkan kepada penerima dari Januari hingga 30 Jun tahun ini.

“Agihan ini dibuat melalui 38 skim bantuan yang telah diperkenalkan oleh MAIWP,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN