PLUS, Petronas Dagangan bangunkan Stesen Super Hibrid pertama - Utusan Malaysia

PLUS, Petronas Dagangan bangunkan Stesen Super Hibrid pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Petronas Dagangan Berhad (PDB) untuk membangunkan stesen hibrid komersial yang pertama di lebuh raya Malaysia.

Kerjasama kedua-dua pendahulu industri lebuh raya dan sektor peruncitan tenaga bakal
menyaksikan pembukaan Stesen Super Hibrid pertama yang akan menjadi penanda aras perkhidmatan lebuh raya di negara ini dan memberikan lebih keselesaan dan pilihan kepada pengguna.

Menurut kenyataan bersamanya, Stesen Super Hibrid yang bakal diwujudkan di lebuh raya tersebut menyediakan perkhidmatan mobiliti menyeluruh seperti stesen petrol dan diesel berskala besar termasuk stesen pengecasan pantas (DCFC) untuk pengguna kenderaan elektrik (EV).

Selain itu, ia turut menyediakan kemudahan-kemudahan awam yang lebih selesa, perkhidmatan runcit serta ruang makanan seperti gerai makan, kafe, restoran dan sebagainya.

“Pembangunan stesen hibrid ini juga memberi penekanan terhadap kelestarian menerusi reka bentuk bangunan yang efisien tenaga hingga ke penyertaan ruang hijau dan sumber tenaga yang boleh diperbaharui.

“Sebagai salah satu mercu mercu tanda terbaharu di lebuh raya, stesen hibrid ini bakal menjadi destinasi tersendiri dan menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih baik,” demikian menurut kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, sebagai pengendali lebuh raya utama di Malaysia dan rakan strategik negara, PLUS komited untuk menghubungkan komuniti bagi mencorakkan masa hadapan yang selamat dan lestari.

Katanya, PLUS dengan sokongan Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pemain industri utama memainkan peranan dalam mengintegrasikan prinsip inovatif dalam operasi untuk membangunkan ekosistem lebuh raya pintar dan lestari.

“Pembangunan Stesen Super Hibrid ini akan memacu pelaksanaan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon negara.

“Selain itu, penyediaan stesen hibrid ini juga dapat memperluaskan kemudahan perkhidmatan mobiliti kami bagi menambahbaik pengalaman pengguna lebuh raya, di samping memberi peluang kepada mereka untuk menikmati amalan kelestarian sepanjang perjalanan mereka,” ujarnya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani pula berkata, pihaknya sentiasa meneroka peluang untuk menambah baik pengalaman pelanggan selari dengan komitmen syarikat untuk menjadikan kehidupan lebih mudah dan bermanfaat.

“Setiap titik sentuhan Stesen Super Hibrid ini akan direka bentuk dengan mengambil kira trend serta keperluan pelanggan.

“Kami yakin kolaborasi antara PDB dan PLUS akan meningkatkan keselesaan, kemudahan dan inovasi berfokuskan pelanggan, yang akan mengubah pengalaman pelanggan di lebuh raya,” katanya.

Lembah Klang telah dikenal pasti sebagai lokasi perintis untuk pembangunan fasiliti hibrid ini.

Dengan keluasan lebih 30,000 kaki persegi, ia menyasarkan pembangunan untuk menyediakan fasiliti yang lengkap dan selesa kepada pengguna lebuh raya.

Kejayaan projek ini berpotensi membuka ruang untuk pengembangan perkhidmatan lebih meluas di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya