PHBAM urus Amanah Hartanah Bumiputera berkuat kuasa hari ini - Utusan Malaysia

PHBAM urus Amanah Hartanah Bumiputera berkuat kuasa hari ini

KETUA Pegawai Eksekutif PHBAM, Zulkifli Ishak (barisan bawah tengah) menyasarkan untuk memberi nilai tambah kepada dana AHB melalui penyediaan perkhidmatan kewangan secara holistik kepada pemegang unit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PHB Asset Management Berhad (PHBAM), anak syarikat milik penuh Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), dilantik sebagai pengurus baharu dana Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) menggantikan Maybank Asset Management Sdn. Bhd. (MAM), berkuat kuasa hari ini.

Pada masa sama, PHB dan AmanahRaya Trustees Berhad akan terus menjadi penaja dan pemegang amanah dana AHB iaitu unit amanah patuh syariah yang melabur terutamanya dalam pemunyaan benefisial hartanah komersial di lokasi utama di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif PHBAM, Zulkifli Ishak berkata, pihaknya mengambil kedudukan sebagai pemain industri dengan tumpuan menyediakan penyelesaian pelaburan dana yang berlandaskan hartanah.

Katanya, objektif utama syarikat selaras dengan mandat PHB untuk meningkatkan kemampuan dan kekayaan Bumiputera melalui penyertaan dan pemilikan hartanah komersial.

“AHB telah berkembang dari RM1 bilion pada 2010 kepada RM5 bilion pada tahun lalu, memberi manfaat kepada lebih daripada 80,000 pemegang unit dalam penjanaan kekayaan.

“Dengan struktur harga tetapnya dan pengagihan pendapatan dua kali setahun dan telah dizakatkan, dana AHB sesuai untuk pelabur yang mengendalikan perancangan kewangan, termasuk simpanan pendidikan dan persaraan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, PHBAM menghargai perkhidmatan dan sokongan padu MAM sejak dana AHB diperkenalkan pada 2010. Usaha sama ini terbukti melalui langganan penuh unit AHB.

“MAM bersama PHB sebagai penaja dana, telah membina kepakaran dalam mengurus portfolio hartanah komersial secara efektif untuk AHB,” ujarnya.

PHBAM berusaha untuk mencapai pengoperasion cemerlang dan menawarkan keterangkuman kewangan dengan menggabungkan teknologi maklumat bersama kepakaran dan kompetensi profesional pasaran modal kewangan di dalam strategi perniagaannya selaras dengan objektif jangka panjang PHB.

PHBAM menyasarkan peningkatkan dana AHB dari RM5 bilion kepada RM20 bilion menjelang 2030 dengan memperkenalkan perancangan pengedaran digital bagi memberi akses yang lebih luas dan mudah kepada komuniti Bumiputera yang kurang mendapat pendedahan berkenaan dana AHB.

“PHBAM juga menyasarkan untuk memberi nilai tambah kepada dana AHB melalui penyediaan perkhidmatan kewangan secara holistik dengan menyepadukan pelbagai penyelesaian kewangan, seperti takaful, hibah wakaf dan wasiat.

“Inisiatif berkenaan dapat memberikan pemegang unit AHB pendekatan yang lebih berstruktur dalam penciptaan dan pengagihan kekayaan,” katanya.

Urus niaga dana AHB masih boleh diakses melalui cawangan Maybank, AmBank, AmBank Islamic dan Bank Islam seluruh negara serta melalui perkhidmatan perbankan atas talian Maybank2u, eksklusif untuk pelanggan Maybank.

PHBAM telah menerima Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal daripada Suruhanjaya Sekuriti pada 22 April lalu untuk pengurusan dana dan urus niaga dalam sekuriti bagi unit amanah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya