Petronas siap sedia mula operasi LNG di Kanada - Utusan Malaysia

Petronas siap sedia mula operasi LNG di Kanada

PETRONAS menambah tiga kapal LNG untuk operasi di Kanada. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bersedia memulakan operasi kemudahan gas asli cecairnya (LNG) di Kanada tahun ini berikutan langkah menambah tiga kapal LNG cekap tenaga baharu yang dibina terutamanya bagi penghantaran dari Amerika Utara kepada pelanggannya.

Dengan penambahan tiga kapal baharu yang dikenali sebagai Puteri Sejinjang, Puteri Mahsuri dan Puteri Mayang, jumlah kapal LNG khusus untuk operasi Petronas di Amerika Utara ialah sebanyak enam kapal.

Penamaan tiga kapal pertama iaitu Puteri Saadong, Puteri Ledang, dan Puteri Santubong dibuat pada Januari lalu.

Kapal itu dibina di limbungan Hyundai Heavy Industries (HHI) di Ulsan, Korea Selatan, masing-masing mempunyai kapasiti kargo 174,000 meter padu dan merupakan kapal terbesar dalam armada kapal Petronas berbilang saiz.

Ketua Pegawai Operasi Petronas, Adnan Zainal Abidin berkata, LNG menjadi kunci komponen untuk peralihan tenaga yang adil.

“Dengan kapal baharu ini, Petronas mengukuhkan komitmennya untuk menyampaikan bahan api pilihan yang sangat diperlukan itu kepada pelanggannya dengan cara yang cekap dan boleh dipercayai,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, Petronas mempunyai 25 peratus kepentingan dalam LNG Canada di Kitimat, British Columbia yang merupakan salah satu loji intensiti pelepasan karbon terendah di dunia.

“Kemudahan itu dirancang untuk dimulakan pada bahagian akhir tahun ini,” katanya.

Tambah beliau, dengan pengembangan strategik kapal armada, Petronas bukan sahaja meningkatkan kesediaannya untuk permulaan LNG Kanada yang akan datang tetapi juga menekankan komitmennya sebagai rakan kongsi tenaga progresif yang menyediakan penyelesaian karbon rendah untuk pelanggannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya