Petronas dijangka hilang sebahagian hasil kepada Petros - Utusan Malaysia

Petronas dijangka hilang sebahagian hasil kepada Petros

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas dijangka kehilangan sebahagian daripada hasil kerana tidak menjadi agregator gas tunggal di Sarawak, kata RHB Investment Bank Bhd.

Dalam satu nota penyelidikan, bank pelaburan itu berkata, terdapat ura-ura yang semakin meningkat mengenai Petronas yang berdepan potensi pemotongan perbelanjaan modal (capex) susulan berita Petroleum Sarawak Bhd (Petros) mengambil alih pembelian dan penjualan gas asli Sarawak daripada syarikat minyak dan nasional terbabit.

Bank pelaburan itu berkata, peralihan akan bermula pada separuh kedua 2024. 

“Kita mungkin melihat beberapa potensi gangguan operasi dalam tempoh terdekat sebelum lebih banyak kejelasan atau penyelesaian jelas dicapai antara Petros dan Petronas. 

“Bagaimanapun, kami percaya yang akhirnya, kedua-dua pihak mahu memaksimumkan pengeluaran, terutamanya apabila harga minyak dijangka kekal stabil,” katanya dalam satu nota penyelidikan. 

Selain itu, RHB Investment Bank berpendapat bahawa pengurangkan belanjawan domestik yang drastik oleh satu pihak adalah tidak mampan dalam jangka panjang kerana ia akhirnya akan menjejaskan kedudukan minyak dan gas (O&G) Malaysia di rantau ini. 

Sebelum ini, Petronas memperuntukkan belanjawan RM300 bilion antara 2023 dan 2027 (RM50 bilion setahun) yang merangkumi purata perbelanjaan belanjawan domestik RM22.6 bilion setahun (perbelanjaan modal lima tahun RM113 bilion).

Dalam pada itu, bank pelaburan itu berkata, Petronas  membuat perbelanjaan modal RM52.8 bilion pada tahun kewangan 2023, dengan pembahagian yang hampir sama antara portfolio domestik dan antarabangsa.

Katanya, segmen huluan dan gas masing-masing menyumbang 52 peratus dan 22 peratus daripada belanjawan domestik, dan pemindahan peranan agregator gas tunggal kepada Petros mungkin membawa kepada pengurangan belanjawan yang lebih ketara dalam segmen gas.

“Walaupun kita mungkin melihat beberapa gangguan operasi yang berpotensi dalam tempoh terdekat, kami masih menganggap penyelesaian yang perlu dicapai antara kedua-dua pihak terbabit tanpa menjejaskan pengeluaran sedia ada dan pelaburan domestik masa depan untuk memenuhi permintaan gas global yang semakin meningkat,” katanya.

Mengulas lanjut, RHB Investment Bank berkata, impak pendapatan ke atas Petronas kekal tidak menentu, tetapi langkah itu mungkin menjejaskan keupayaannya untuk berbelanja.

Secara keseluruhannya, di sebalik ketidaktentuan yang semakin meningkat terhadap hala tuju dan strategi Petronas, RHB Investment Bank masih mengekalkan saranan ‘wajaran tinggi’ ke atas sektor O&G. 

Buat masa ini, bank pelaburan itu terus memihak kepada syarikat perkhidmatan huluan dengan pendedahan yang lebih besar dalam ruang berkaitan penyelenggaraan, kerana mereka memberikan daya tahan pendapatan yang lebih besar, ditambah pula dengan syarikat yang mempunyai kepelbagaian antarabangsa seperti Yinson, MISC dan Bumi Armada. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya