PETALING JAYA: Pelaksanaan perkongsian kos atau pembayaran bersama bagi produk insurans dan takaful perubatan serta kesihatan (MHIT) ke atas syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) akan mengalakkan pengguna perkhidmatan itu lebih bertanggungjawab.
Penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, ini merupakan satu usaha dalam memupuk sifat disiplin dan bertanggungjawab kepada pemegang polisi di pasaran insurans dan takaful yang baharu nanti.
“Pelaksanaan perkongsian kos ini disebabkan penggunaan perkhidmatan perubatan yang berlebihan. Kadar inflasi dalam perkhidmatan perubatan telah naik sehingga 12 peratus dan ini tidak munasabah.
“Dalam masa yang sama, pelaksanaan ini juga mendorong hospital dan perkhidmatan perubatan swasta mengenakan kos perubatan yang bersesuaian tanpa mengambil kesempatan dengan memanipulasi bil pada kadar lebih tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Barjoyai, melalui mekanisme baharu ini, pusat perubatan swasta akan lebih bertimbang rasa dalam mengenakan kadar kos dan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berlebihan yang membawa kesan positif dalam jangka masa panjang.
“Bagaimanapun, syarikat insurans dan pengendali takaful berkemungkinan akan terjejas dalam jangka masa pendek.
“Ini kerana mereka perlu memujuk pelanggan baharu untuk mengikuti sistem ini yang pastinya akan mengurangkan minat orang ramai berikutan tidak lagi mendapat perlindungan penuh setelah membuat pembayaran insurans bulanan.
“Justeru, ia boleh menyebabkan perniagaan atau pasaran perkhidmatan insurans perlindungan kesihatan sedikit merosot,” ujarnya.
Tambah beliau, dalam jangka pertengahan dan panjang, ramai keluarga akan lebih selesa mewujudkan skim perlindungan kesihatan sendiri melalui tabung peribadi atau kaedah lain untuk menampung kos perubatan mereka.
Sebelum ini, menerusi kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM), ITO diwajibkan menawarkan produk MHIT baharu untuk memperkenal ciri-ciri perkongsian kos dalam produk itu bermula 1 September ini.
Jelas BNM, Dokumen Dasar Perniagaan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan bertujuan menggalak penawaran MHIT yang berterusan dan lebih mampu milik.
Malaysia mencatat inflasi kos perubatan sebanyak 12.6 peratus yang jauh lebih tinggi daripada purata global 5.6 peratus pada 2023.
BNM menetapkan syarat yang perlu dipatuhi ITO bagi meningkatkan lagi tahap mampu milik MHIT serta melindungi kepentingan pengguna. – UTUSAN