Perdagangan LNG terus berkembang, Petronas tambah pelaburan luar negara - Utusan Malaysia

Perdagangan LNG terus berkembang, Petronas tambah pelaburan luar negara

PETRONAS terus merekodkan kejayaan dengan penghantaran kargo LNG ke-50 dari kemudahan PFLNG SATU.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peranan Malaysia dalam perdagangan projek gas asli cecair (LNG) global dijangka terus berkembang apabila Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) meningkatkan pelaburan dalam projek LNG di luar negara, didorong prospek pertumbuhan permintaan global jangka panjang.

Menurut BMI, unit penyelidikan Fitch Solutions, kebanyakan pelaburan ekuiti Petronas dalam projek LNG di luar negara ditujukan untuk portfolio global perdagangan.

“Petronas telah melabur dalam projek Gladstone di Australia dan LNG Kanada. Pelaburan asing terkini Petronas dalam projek LNG di luar negara sebanyak 15 peratus untuk penyertaan ekuiti dalam kontrak pengeluaran dan perkongsian (PSC) Masela, yang termasuk projek LNG Abadi sebanyak 9.5 juta tan setahun (mtpa) di Indonesia.

“Kerajaan Indonesia meluluskan pelan pembangunan Masela pada Disember 2023 serta Petronas dan rakan kongsinya masih belum membuat keputusan pelaburan muktamad (mengenai projek LNG Abadi),” katanya dalam nota hari ini.

Pada September 2022, Petronas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan YPF milik Argentina untuk membangunkan projek LNG 5.0 mtpa di Bahia Blanca dalam fasa pertama.

Setahun kemudian, pemain swasta Malaysia, Bumi Armada, menandatangani perjanjian dengan anak syarikat perdagangan gas asli Pertamina, PT Davenergy Mulia Perkasa, untuk sama-sama membangunkan projek LNG terapung menggunakan gas suapan dari Madura dan kawasan sekitarnya di Indonesia.

Bagaimanapun, katanya, pelan pelaburan itu berada di peringkat awal pembangunan dan belum mencapai kemajuan lebih lanjut.

Menurut unit penyelidikan itu, Petronas juga menyasarkan untuk memasuki China dan pasaran sedang pesat membangun yang lain, beralih tumpuan daripada Jepun kerana pasaran ini menjadi semakin penting kepada Petronas untuk mengekalkan eksport LNG.

“China kini secara meluas dianggap sebagai pasaran LNG yang berkembang pesat dan masih menawarkan peluang besar untuk eksport LNG.

“Pada akhir April 2024, Malaysia hanya menyumbang 11.5 peratus daripada jumlah importasi LNG China, jauh lebih rendah berbanding dengan bahagian Australia yang mencatat 32.5 peratus dan Qatar 25.9 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, Petronas kini hanya mempunyai satu Perjanjian Jualan dan Pembelian LNG jangka panjang dengan China National Offshore Oil Corporation (CNOOC), selepas perjanjian dengan JOVO Energy tamat pada 2023.

Sejak 2021, Petronas telah menandatangani perjanjian berasingan dengan CNOOC untuk menjual 2.2 juta tan metrik setahun (mtpa) LNG dari projek LNG Canada yang dijangka beroperasi pada 2025.

Ini merupakan perjanjian pertama di mana Petronas menjamin penjualan LNG dari projek luar negara kepada syarikat China.

Sejak 2021, Malaysia telah mengeksport LNG ke China pada kadar 150 hingga 190 peratus lebih tinggi daripada jumlah yang terikat, mengecilkan jurang dengan Jepun.

“Selain China, Petronas mempunyai kontrak jangka panjang 15 tahun dengan PTT Thailand untuk 1.2 mtpa LNG. Eksport LNG ke Thailand boleh meningkat kerana permintaan Thailand terhadap LNG semakin meningkat dan PTT sedang memperluas kapasiti pengembangan semula LNG-nya.

“Petronas juga sedang mengeksport LNG spot ke Taiwan (China), Bangladesh, Singapura, dan Pakistan.

“Petronas memasuki pasaran Filipina pada tahun 2023 dan Vietnam boleh menjadi sasaran pasaran LNG seterusnya, membolehkannya memperluas kehadiran dalam pasaran LNG spot,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya