Penurunan 10% subsidi RON95 dapat kecilkan defisit fiskal - Utusan Malaysia

Penurunan 10% subsidi RON95 dapat kecilkan defisit fiskal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Defisit fiskal boleh dikecilkan sehingga 0.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) jika subsidi bahan api RON95 dikurangkan sebanyak 10 peratus, menurut Malaysian Rating Corporation Bhd. (MARC).

Badan penarafan itu berkata, petunjuk yang memberangsangkan dalam pasaran buruh, pertumbuhan KDNK dan perbelanjaan pengguna sewajarnya memudahkan penyasaran semula subsidi ke arah impak kebajikan yang bermanfaat.

“Penyelarasan semula subsidi tetap menjadi faktor penting dalam mengurangkan perbelanjaan kerajaan, memandangkan subsidi telah meningkat sebagai bahagian perbelanjaan operasi Malaysia daripada 4.0 peratus pada 2003 kepada 25 peratus tahun lepas,” katanya dalam kenyataan.

MARC memaklumkan, pada 2022, Malaysia membelanjakan RM70.3 bilion untuk subsidi, dengan subsidi bahan api menyumbang 74 peratus.

“Oleh itu, reformasi subsidi bahan api yang berterusan diperlukan, di samping kajian semula berterusan terhadap pelbagai subsidi untuk memastikan wang yang diperuntukkan lebih disasarkan kepada kumpulan yang kurang bernasib baik dalam masyarakat,” ujarnya.

Sementara itu, mengenai cukai, firma penarafan tersebut menyatakan walaupun pematuhan cukai kekal sebagai cabaran terutama bagi cukai langsung namun, penambahbaikan berterusan terhadap sistem e-invois Malaysia seharusnya meningkatkan kecekapan kutipan cukai tidak langsung.

“Secara keseluruhannya, meluaskan tumpuan cukai penggunaan adalah penting untuk kemampanan fiskal, dan ini boleh dilaksanakan dengan mempunyai kumpulan barangan yang lebih luas untuk cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada atau memperkenalkan varian cukai barangan dan perkhidmatan atau cukai nilai tambah,” katanya.

Mengulas lanjut, MARC juga menyatakan bahawa Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal Malaysia 2023 telah mengehadkan defisit fiskal kepada 3.0 peratus daripada KDNK dengan membenarkan pengecualian sementara.

“Kerajaan menyasarkan untuk mencapai penanda aras ini menjelang 2026, yang jika berjaya, akan menstabilkan tahap hutang yang tinggi Malaysia dan menyelaraskan defisit dengan median global,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya