KUALA LUMPUR: Proses pemilihan pengendali rangkaian mudah alih (MNO) bagi peralihan model dwi (dual) rangkaian 5G (DWN) dijangka akan diselesaikan menjelang akhir tahun ini, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Menurut Gobind, pada masa ini perjanjian langganan saham (SSA) telah dipenuhi oleh semua pengendali rangkaian mudah alih (MNO) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menantikan proses pemilihan tersebut.
“Saya merasakan MCMC sebenarnya sedang dalam proses meneliti bagaimana mereka boleh memulakan proses ke arah rangkaian kedua.
“Jadi, ia sekarang sudah berada di peringkat kedua yang merupakan keseluruhan proses, di mana anda boleh melihat keputusan yang diambil mengenai siapa yang akan membina rangkaian seterusnya.
“Mereka (MCMC) tidak diberikan jangka masa untuk memulakan proses tersebut tetapi saya berharap ia boleh mula bergerak sebelum akhir tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran produk pelaburan emas TNG Digital Sdn. Bhd., e-Mas, di sini hari ini.
Dalam majlis itu, TNG Digital telah melancarkan e-Mas sebagai produk pelaburan emas yang kini tersedia dalam TNG eWallet dengan usaha sama CIMB Bank Berhad.
Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Alan Ni berkata, orang ramai kini boleh mempelbagaikan portfolio pelaburan mereka dengan lancar melalui TNG eWallet sahaja.
“Orang ramai yang berminat boleh mula melabur dalam e-mas melalui proses digital sepenuhnya, dari serendah RM10 bermula hari ini.
“Dalam masa yang sama, kami dapat meluaskan rangkaian produk pelaburan dalam TNG eWallet dengan pelancaran e-Mas itu.
“Ini sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk menerajui pemerkasaan kewangan dan kebolehcapaian untuk rakyat Malaysia.
“Kami komited untuk menawarkan pelbagai jenis produk dengan e-Mas untuk memenuhi keperluan kepada selera risiko pelaburan yang pelbagai di kalangan pengguna kami,” katanya.
Tambahnya, TNG menyasarkan sebanyak 500,000 pelanggan akhir hujung tahun ini bagi produk baharunya itu.