Pembayaran bersama bukan faktor utama harga pelan perubatan naik - MTA - Utusan Malaysia

Pembayaran bersama bukan faktor utama harga pelan perubatan naik – MTA

MOHD. RADZUAN MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenaikan harga produk insurans dan takaful perubatan serta kesihatan (MHIT) bukan disebabkan pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai pembayaran bersama (co-payment), menurut Persatuan Takaful Malaysia (MTA).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Radzuan Mohamed berkata, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga pelan perlindungan antaranya kenaikan kadar inflasi perubatan.

Jelasnya, faktor kenaikan harga boleh terjadi kerana kesan peningkatan umur peserta, di mana sumbangan akan meningkat apabila peserta meningkat usia.

“Selain itu, kos rawatan yang semakin meningkat disebabkan oleh kemajuan teknologi perubatan, inflasi umum dan turun naik mata wang juga diambil kira.

Malah, pengalaman tuntutan dan peningkatan pelan perlindungan sedia ada seperti penambahbaikan manfaat juga membawa kepada kenaikan pelan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Walaupun terdapat pelbagai faktor yang menjurus kepada kenaikan harga pelan takaful, beliau menegaskan, pihaknya sentiasa berusaha memastikan harga produk MHIT kekal berpatutan dan menawarkan nilai yang terbaik kepada semua peserta takaful.

“Dengan adanya ciri ini, peserta takaful digalakkan untuk mengambil peranan yang lebih aktif semasa mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan membantu mempromosikan penggunaan perkhidmatan kesihatan yang lebih bertanggungjawab.

“Ia juga dapat mengurangkan tuntutan perubatan palsu, malah dapat memastikan pelan perlindungan ini kekal menjadi mampu milik untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, MTA turut berpendapat, pembayaran bersama dalam MHIT merupakan langkah positif yang membolehkan pengendali takaful menawarkan sumbangan yang lebih mampu milik berbanding pelan tanpa pembayaran bersama.

“Ini kerana pemegang sijil atau bakal pemegang sijil akan berkongsi kos rawatan dan perkhidmatan perubatan serta memastikan produk MHIT kekal berdaya tahan serta berpatutan untuk jangka masa panjang,” katanya.

“Secara keseluruhannya, pengenalan pembayaran bersama adalah langkah yang dapat membantu memberi pilihan alternatif kepada pengguna, bersesuaian dengan keperluan dan tahap kemampuan kewangan mereka” katanya.

Terdahulu, BNM mengumumkan pelaksanaan perkongsian kos atau pembayaran bersama untuk produk MHIT ke atas syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) bermula 1 September bagi menangani inflasi kos perubatan yang terus meningkat.

Berkuat kuasa tempoh itu juga, ITO dikehendaki menawarkan pilihan kepada pengguna untuk membeli produk MHIT yang mempunyai ciri-ciri perkongsian kos manakala pengguna yang telah membelinya tanpa ciri tersebut boleh mengekalkan produk sedia ada mereka.

Namun, ITO juga boleh terus menawarkan produk MHIT tanpa ciri-ciri pembayaran bersama kepada pengguna baharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN