PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) 3.0 peratus pada mesyuarat keempat, walaupun dengan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel baru-baru ini.
Standard Chartered Global Research berkata, anggaran awal pihaknya adalah impak sederhana 0.1 mata peratusan (ppt) terhadap inflasi berikutan ciri pemotongan subsidi yang disasarkan.
“Kami akan memantau sebarang perubahan terhadap prospek inflasi BNM berikutan rasionalisasi subsidi diesel yang dilaksanakan pada 10 Jun.
“Selain itu, kami akan mengawasi kesan-kesan sekunder, terutama memandangkan mungkin terdapat rasionalisasi subsidi yang seterusnya dalam keadaan pemulihan pertumbuhan Malaysia,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Menurut StanChart Singapore, BNM pada Mei berkata, inflasi pada 2024 dijangka kekal sederhana, yang secara umumnya mencerminkan keadaan permintaan stabil dan tekanan kos yang terkawal.
Justeru, pihaknya akan memantau sebarang penyesuaian yang menunjukkan tekanan kos yang meluas, yang mungkin meningkatkan risiko kenaikan kadar BNM menjelang akhir 2024.
“Selain itu, kami juga akan memantau perubahan dari segi penilaian BNM terhadap ringgit selepas bank pusat menerusi nota pada Mei berkata ‘ringgit pada masa ini tidak mencerminkan asas ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia.’
“Kami melihat ini sebagai peningkatan dalam pandangan bank pusat berbanding dengan Mac, di mana ia menyatakan, ringgit pada masa ini adalah tidak seimbang, mengambil kira asas ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, kadar OPR perlu dikekalkan kerana ia akan membantu para usahawan sekiranya tiada sebarang kos pinjaman dan kenaikan kos tambahan.
“Pelbagai kos terutama kos sara hidup kini semakin meningkat, ditambah pula para usahawan juga sedang berusaha menyesuaikan diri dengan penyasaran susbsidi diesel.
“Jadi, sekiranya OPR kekal 3.0 peratus membolehkan usahawan terus berkembang tanpa sebarang penambahan kos,” ujarnya. – UTUSAN