PETALING JAYA: Pelabur asing mengakhiri jualan bersih buat minggu kedua berturut-turut dengan beralih menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia sebanyak RM394.5 juta pada minggu lalu.
MIDF Research berkata, mereka mencatatkan pembelian bersih setiap hari pada minggu lalu dengan sebahagian besar aliran masuk dilihat pada Rabu dan Khamis, masing-masing RM259.4 juta dan RM86.3 juta.
“Sektor yang mencatatkan aliran masuk asing bersih tertinggi minggu lepas ialah pengangkutan dan logistik (RM152.9 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (RM151.5 juta) dan teknologi (RM93.6 juta).
“Sektor dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah produk dan perkhidmatan pengguna (RM91.1 juta), pembinaan (RM28.6 juta) dan perladangan (RM27.2 juta),” katanya dalam laporan aliran dana mingguan berakhir 5 Julai 2024.
Firma penyelidikan itu berkata, institusi tempatan terus memainkan peranannya dalam menyokong bursa tempatan dengan mencatat belian bersih sebanyak RM32.2 juta minggu lepas.
Peruncit tempatan merupakan penjual bersih utama yang melupuskan ekuiti sebanyak RM426.7 juta.
Mereka menjadi penjual bersih pada setiap hari dagangan kecuali pada Jumaat apabila menjadi pembeli bersih sebanyak RM400,000.
Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata jumih dagangan harian (ADTV) dalam kalangan peruncit tempatan dan pelabur institusi tempatan masing-masing sebanyak 14.1 peratus dan 5.8 peratus manakala pelabur asing mencatatkan penurunan dalam ADTV sebanyak 6.7 peratus minggu lalu. – UTUSAN