KUALA LUMPUR: Pekerja industri kewangan perlu berupaya menyesuaikan diri dan bersifat rintis terhadap perubahan kerana automasi, kecerdasan buatan (AI), dan trend digitalisasi lain sedang membentuk semula serta mewujudkan pekerjaan baharu.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, kira-kira 168,000 individu yang bekerja dalam sektor kewangan harus dilengkapi pengetahuan dan kemahiran yang tepat untuk menggerakkan industri kewangan.
Jelas beliau, tenaga kerja sektor kewangan berkembang hampir 3.0 peratus dalam dua tahun terakhir, dengan peluang pekerjaan kebanyakannya tertumpu kepada pekerja mahir, melebihi 95 peratus daripada jumlah kekosongan jawatan dan jawatan yang baru diwujudkan.
“Melaksanakan Kerangka Kemahiran Masa Depan (FSF) adalah langkah penting bagi industri dalam membina asas yang kukuh untuk pembangunan kemahiran dan penyesuaian kemahiran pekerjaan, menangani cabaran dan peluang.
“Untuk ini, kita perlukan pendekatan seluruh industri dan negara,” katanya dalam ucapan sempena pelancaran FSF untuk sektor kewangan di sini.
FSF telah mengenal pasti 159 peranan pekerjaan yang relevan dan 157 kemahiran yang akan diminati dalam tempoh tiga tahun akan datang, laluan perkembangan kerjaya yang berpotensi, dan akses kepada hampir 1,000 program pembangunan kapasiti.
Antara lain, kerangka tersebut menyoroti permintaan yang meningkat untuk kemahiran dalam teknologi cemerlang, kelestarian, dan syariah.
Dalam pada itu, Menteri Sumber Manusia (Kesuma), Steven Sim berkata, sebanyak 10 sektor akan terlibat dalam Rangka Kerja FSF yang dijangka siap pada September depan.
Katanya, ia merangkumi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), makanan dan perubatan, pembuatan makanan dan perkhidmatan, pembuatan farmaseutikal, aeroangkasa, elektrik dan elektronik, perdagangan borong dan runcit, kimia dan peranti perubatan, tenaga, serta perkhidmatan perniagaan global.
“Selain itu, pemilihan sektor berkaitan adakah berkait rapat sumbangannya kepada ekonomi negara di mana tujuh daripadanya merangkumi kira-kira 79 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
“Selepas laporan FSF dikeluarkan, Kesuma akan mewujudkan portal awam interaktif untuk membolehkan perniagaan, pekerja, pelajar, pengubal dasar politik dan sesiapa sahaja merujuk rangka kerja ini yang akan kemas kini secara berkala,” katanya.
Mengulas lanjut, Sim berkata, sebuah portal yang akan diwujudkan Kesuma itu juga membolehkan pengguna mengambil penilaian pekerjaan dan kemahiran peribadi dan selain dapat dihubungkan dengan kursus kemahiran sedia ada dan perkhidmatan padanan pekerjaan.
“Ini akan menandakan pencapaian baru dalam pembuatan dasar kita di mana industri, kerajaan dan bidang akademik bekerjasama untuk menghasilkan alat yang berkuasa bagi membentuk keputusan pada setiap peringkat atau untuk membimbing dalam membuat keputusan.
“Ini memerlukan pendekatan menyeluruh industri, kerajaan dan seluruh masyarakat. Ketika kita sedang mengejar pelaburan dan pertumbuhan di negara ini, Malaysia memerlukan tenaga kerja yang bersedia menghadapi cabaran ,” katanya. – UTUSAN