Pameran Mobiliti Antarabangsa sasar 250,000 pelawat Disember ini - Utusan Malaysia

Pameran Mobiliti Antarabangsa sasar 250,000 pelawat Disember ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (KLIMS’24) edisi ke 10 menyasarkan seramai 250,000 orang pelawat dari 5 Disember sehingga 11 Disember di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Pengarah Acara Perniagaan Qube Integrated Malaysia Sdn. Bhd. selaku penganjur acara, Yuhanis Latif berkata, KLIMS’24 dibawah anjuran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) itu akan bekerjasama dengan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Dengan MARii sebagai rakan strategik, KLIMS 2024 bertujuan meneroka jalan baru untuk meningkatkan keupayaan ekosistem automotif selaras dengan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020.

“KLIMS’24 terus mempamerkan inovasi dan kemajuan teknologi terkini dalam industri automotif,” katanya semasa sidang media KLIMS’24, di sini, hari ini.

Beliau berkata, para pengunjung boleh menjangkakan pameran daripada jenama-jenama automotif terkemuka dan rakan kongsi yang mempamerkan kenderaan canggih dan penyelesaian mobiliti inovatif.

“KLIMS’24 menawarkan platform yang sangat baik untuk semua kategori kenderaan elektrik, vendor, pembekal peralatan pengecasan dan penyedia perkhidmatan untuk mempamerkan produk, inovasi dan teknologi terbaru mereka.

“Jenama yang telah mengesahkan penyertaan mereka di KLIMS’24 termasuk Perodua, Proton, Toyota, Honda, Mitsubishi, Nissan, KIA, Mazda, Kawasaki, Great Wall, MG Motor, GAC Motor, Allianz, V-Kool, Kineta, PG Pro Perma Glass, NVK Interior, GoInsuran, WTC Automotif, TCCL dan banyak lagi.

“Jenama tambahan akan diumumkan lebih dekat dengan tarikh acara, menjanjikan barisan pempamer yang luas dan pelbagai,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, KLIMS’24 akan beroperasi dari pukul 10 pagi sehingga 8 malam pada hari bekerja dan memanjangkan waktu operasinya sehingga 10 malam pada hujung minggu (Jumaat, Sabtu, dan Ahad, termasuk 11 Disember, cuti umum Selangor).

“Tiket boleh dibeli di www.klims.com.my, dengan kemasukan hari bekerja untuk dewasa berharga RM20 dan kadar hujung minggu RM25.

“Bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah pula bakal menikmati kemasukan percuma, manakala mereka yang berumur 13 hingga 17 tahun dan pelajar kolej atau universiti (sehingga 25 tahun dengan ID pelajar yang sah) hamya membayar RM10 tanpa mengira hari yang dihadiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya