OPR perlu kekal 3.0 peratus untuk kestabilan ekonomi domestik - Utusan Malaysia

OPR perlu kekal 3.0 peratus untuk kestabilan ekonomi domestik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.0 peratus dalam mesyuarat keempat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) minggu ini.

MPC BNM dijadualkan mengadakan mesyuarat keempat bagi 2024 pada Rabu dan Khamis ini dan Pernyataan Dasar Monetari akan diumumkan pada pukul 3 petang pada hari terakhir setiap mesyuarat.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pengekalan kadar tersebut perlu kerana ia akan terus memberikan kestabilan kepada ekonomi domestik yang sedang berkembang dengan baik.

Ujarnya, eksport negara juga sudah menunjukkan lonjakan yang lebih baik daripada penyusutan jumlah eksport yang dialami pada tahun lepas.

“Perubahan ekonomi global pasti membantu dalam mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.5 peratus seperti yang telah diunjurkan oleh kerajaan.

“Dengan pelbagai faktor yang sentiasa berubah disekeliling kita, sebaiknya OPR dikekalkan oleh BNM untuk memberikan sokongan kewangan yang stabil kepada rakyat dan juga perniagaan terutama sekali kepada sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambah beliau, kenaikan kadar inflasi negara kepada dua peratus baru-baru ini disebabkan pelaksanaan penyasaran bahan api diesel sudah dijangkakan BNM yang mengunjurkan kadar inflasi tahun ini di antara 2.0 ke 3.5 peratus sahaja.

Turut berpandangan sama, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, kadar OPR dijangka akan kekal pada 3.0 peratus kerana BNM perlu mengekalkan dasar monetari sesuai dengan lanskap inflasi dalam tempoh terdekat ini.

Jelasnya, ini kerana jangkaan inflasi yang kekal agak tinggi pada separuh kedua tahun ini.

“Berdasarkan pemberat diesel di dalam Indeks Harga Pengguna (IHP) adalah 0.2 peratus.

“Secara teorinya, impak langsung adalah agak minimum. Namun, apa yang membimbangkan adalah impak tidak langsung seperti kegiatan pengambilan untung berlebihan dalam kalangan para peniaga yang boleh menyebabkan harga meningkat,” katanya.

Pada mesyuarat MPC ketiga 9 Mei lalu, BNM mengekalkan OPR pada 3.0 peratus, iaitu Kali terakhir BNM menaikkan OPR adalah daripada 2.75 peratus kepada 3.0 peratus pada Mei 2023.

Pada Januari sehingga Mac 2023, OPR dikekalkan pada kadar 2.75 peratus selepas empat kenaikan berturut-turut bermula Mei, Julai, September dan November 2022, dengan masing-masing meningkat 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN