PETALING JAYA: Malaysia dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalam (OPR) pada 3.0 peratus tahun ini, walaupun Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) diunjur melakukan pemotongan kadar faedah sebanyak dua kali seawal September, kata Manulife Investment Management (MIM).
Pengurus Kanan Portfolio Ekuitinya, Marco Giubin berkata, bagi 2025 pula, pihaknya akan menunggu dan melihat perkembangan tahun depan.
“Kami tidak menjangkakan Malaysia akan menurunkan kadar faedah pada tahun ini. Kita harus tunggu dan lihat apa yang akan berlaku pada tahun depan,” katanya pada taklimat media mengenai Prospek Pasaran Serantau Pertengahan Tahun 2024 MIM secara dalam talian, semalam.
Marco Giubin berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka berada angka 5.8 peratus tahun ini.
Katanya, akan ada beberapa inisiatif yang membantu memacu pertumbuhan di Malaysia tetapi pihaknya merasakan kerajaan akan memerhatikan inflasi dalam negara.
“Inflasi dijangka sejajar dengan sasaran Fed, manakala pekerjaan tidak akan memberikan tekanan menaik ke atas inflasi perkhidmatan.
“Di sebalik aliran yang menggalakkan ini, kelembapan asas dalam ekonomi AS adalah dalam jangkaan, didorong oleh keadaan yang mengetatkan bagi perniagaan dan pengguna,” ujarnya.
Mengulas mengenai pasaran saham tempatan, beliau berkata, Malaysia menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding pasaran saham lain di ASEAN.
“Terdapat beberapa bahagian di Malaysia yang kelihatan didagang pada harga sepenuhnya, terutamanya beberapa perkara seperti pada bahagian teknologi. Sesetengah daripadanya didagangkan pada harga premium.
“Seperti yang anda ketahui, terdapat banyak minat untuk membina pusat data di Malaysia pada masa ini dan mendapat perhatian ramai,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Peruntukan Aset, Asia, Manulife Investment Management, Luke Browne berkata, pihaknya percaya ekonomi global kekal dalam keadaan baik.
“Kepimpinan dari perspektif ekonomi kekal dengan AS, didorong oleh aktiviti pengguna yang kukuh, walaupun beberapa kali mengalami ketegangan baru-baru ini.
“Ekonomi seperti Eropah, Jepun dan China telah menunjukkan tanda-tanda penstabilan dan peningkatan, dengan penggubal dasar campur tangan untuk menyokong sektor mencabar seperti pasaran hartanah di China,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Pelaburan, Pendapatan Tetap, Asia (kecuali Jepun), Murray Collis berkata, ringgit secara relatifnya berada dalam kedudukan yang baik, didorong oleh import yang kukuh dan pengaruh luar, manakala mata wang Filipina adalah salah satu daripada prestasi yang kurang baik. – UTUSAN