NBiOSHOWCASE 2024 sasar pelaburan baharu RM1.32b

NBiOSHOWCASE 2024 sasar pelaburan baharu RM1.32b

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang (tengah) bercakap pada majlis pembuka tirai dan sidang akhbar Pameran dan Persidangan Bioekonomi Kebangsaan 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, hari ini. Turut sama, Naib Presiden Kanan Perbadanan Bioekonomi, Nora Mohamed (kiri). - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui agensinya, Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) menyasarkan pelaburan baharu bernilai RM1.32 bilion pada Pameran Bioekonomi Kebangsaan 2024 (NBiOSHOWCASE 2024).

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, sasaran pelaburan dan pendapatan itu bakal dicapai berdasarkan perkembangan dan kerjasama yang signifikan dalam sektor kesihatan, perindustrian dan pertanian industri bioteknologi di Malaysia setakat ini.

Katanya, Bioeconomy Corporation juga menyasarkan jumlah sumbangan pendapatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai RM2 bilion yang bakal dicapai oleh industri bioteknologi dan berasaskan bio menjelang akhir tahun ini.

“Dari Januari hingga Mei 2024, syarikat-syarikat bioteknologi dan berasaskan bio di Malaysia telah mencatatkan sejumlah RM838 juta pelaburan baharu dan RM1.5 bilion pendapatan.

“Ini menandakan kepercayaan yang tinggi dalam kemampuan Malaysia untuk menyumbang kepada kemodenan ekonomi berteknologi tinggi melalui bioteknologi,” katanya pada sidang media mengenai NBiOSHOWCASE 2024 di sini, semalam.

NBiOSHOWCASE 2024 yang merupakan persidangan dan pameran industri bioteknologi dan berasaskan bio akan berlangsung pada 17 dan 18 Julai 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Beliau berkata, sasaran pelaburan baharu ini diyakini mampu dicapai berdasarkan beberapa pengumuman penting yang akan dibuat semasa acara ini, termasuk pencapaian hebat dalam sasaran Dasar Bioteknologi Negara 2.0 yang membabitkan perubatan jitu tempatan serta pertumbuhan lanjutan bidang biosimilar di Malaysia.

“Selain itu, pertukaran 11 memorandum persefahaman dan kerjasama akan dijalankan antara penggerak industri bioteknologi dengan pihak awam dan swasta yang melibatkan pihak-pihak tempatan dan antarabangsa.

“Kerjasama ini dijangka akan meningkatkan pelaburan dan pembangunan dalam bioekonomi, memperkukuhkan pembangunan modal insan yang cekap dalam bioteknologi, memperkasakan produk dan perkhidmatan berasaskan bio tempatan,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Bahagian Sokongan Industri Bioeconomy Corporation, Nora Mohamed berkata, kira-kira 15 syarikat berstatus BioNexus dan Bio-based Accelerator (BBA) serta syarikat daripada industri bioteknologi dan berasaskan bio akan mengadakan sesi temu duga kerja pada pameran tersebut.

“Kami jangkakan sebanyak 130 peluang pekerjaan ditawarkan dalam bidang bioteknologi dan berasaskan bio semasa pameran ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya