MPOB perkenal enam teknologi, satu perkhidmatan baharu - Utusan Malaysia

MPOB perkenal enam teknologi, satu perkhidmatan baharu

24 - Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani melawat reruai pameran pada Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB ke-30, di Hotel Tenera, Bangi, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memperkenalkan enam teknologi baharu dalam Program Pemindahan Teknologi Sawit (TOT MPOB) 2024 bagi tingkat pengkomersialan teknologi inovatif sawit.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, enam teknologi dan satu perkhidmatan baharu diperkenalkan bagi pengkomersialan itu merangkumi kluster bioteknologi, mekanisasi dan automasi dan oleokimia.

“Enam teknologi baharu itu ialah baka tanaman baharu Siri Klon Sawit 4 (CPS 4) dan Mesin Pemotong Rumput dengan Transmisi Hidrostatik Kawalan Radio.

“Selain itu, Gris Gred Makanan Terbiodegradasi Berasaskan Sawit, Cecair Pencuci Gred-industri, Gam Berasaskan Sawit untuk Kawalan Serangga Perosak, serta Minyak Transformer Berasaskan Sawit yang juga dikira sebagai inovasi baharu.

“Selain itu, perkhidmatan baharu yang ditawarkan untuk pengkomersialan pula adalah khidmat kawalan perosak sawit dan tikus secara biologi.

“MPOB menyedia khidmat perundingan bagi kawalan tikus secara biologi dengan menyediakan pembinaan tiang berburu (hunting perch) di kawasan sawit,” katanya ketika Program Pemindahan Teknologi Sawit Mpob 2024, di sini, hari ini.

Jelas beliau, teknologi dan inovasi yang dibangunkan oleh MPOB adalah sejajar dengan perkembangan ekosistem industri sawit serta memperluaskan kegunaan produk berasaskan sawit di pasaran.

“Inisiatif ini juga menawar peluang kepada usahawan bagi meneroka potensi perniagaan dalam sektor sawit.

“MPOB telah mengenal pasti sebanyak 355 teknologi dalam semua aspek sawit yang berpotensi untuk tujuan pengkomersialan mengikut keperluan industri sawit dan potensi pengkomersialan oleh syarikat tempatan.

“Sehingga kini, sejumlah 241 teknologi yang ditawarkan untuk pengkomersialan telah berjaya dikomersialkan oleh penggiat industri dan syarikat termasuk penggiat PMKS.

“Pada masa sama, MPOB juga melancarkan dua produk yang akan dikomersialkan iaitu Walbac, sejenis produk racun perosak biologi mesra alam dan Formulasi Baja MPOB F2 dan F6,” katanya.

Katanya, penggiat industri perlu aktif dalam menggunapakai teknologi terkini bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran bagi memastikan industri sawit Malaysia dapat kekal berdaya saing dan relevan seiring dengan perubahan global.

“Keuntungan yang diraih haruslah dilabur semula supaya industri sawit Malaysia secara keseluruhan dapat bertambah maju,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya