MITI peroleh potensi eksport RM3.3 bilion ke Vietnam - Utusan Malaysia

MITI peroleh potensi eksport RM3.3 bilion ke Vietnam

TENGKU Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bersama H.E. Nguyen Hong Dien ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama Malaysia-Vietnam edisi Keempat (JTC ke-4) di Hanoi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memperoleh potensi eksport berjumlah RM3.3 bilion hasil daripada misi perdagangan dan pelaburan selama tiga hari ke Vietnam, baru-baru ini.

MITI berkata, sebanyak 14 syarikat Vietnam komited untuk mendapatkan produk Malaysia termasuk elektrik dan elektronik (E&E), minyak sawit, bahan kimia dan petrokimia, besi dan keluli, makanan dan minuman, serta barangan pengguna.

“Komitmen eksport diperoleh daripada pelbagai pemimpin industri Vietnam semasa mesyuarat meja bulat serta mesyuarat empat mata antara syarikat VietNam dan Menteri MITI di Ho Chi Minh City pada 10 Julai 2024,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, misi tersebut menjadi pemangkin untuk mengembangkan dan memulakan perkongsian strategik antara entiti perniagaan Malaysia dan Vietnam.

Di samping itu, katanya, misi tersebut bakal mengukuhkan lagi kerjasama dua hala antara dua negara.

“Perkara seterusnya adalah untuk memastikan tindakan susulan segera untuk merealisasikan komitmen ini dengan secepat mungkin bagi menyokong pertumbuhan Kadar Dasar Negara Kasar (KDNK) dan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam misi tiga tersebut, Tengku Zafrul bersama Menteri Perindustrian dan Perdagangan Vietnam, H.E. Nguyen Hong Dien mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama Malaysia-Vietnam edisi Keempat(JTC ke-4) di Hanoi.

JTC ke-4 memberi tumpuan kepada beberapa penyampaian utama untuk memajukan hubungan ekonomi Malaysia-Vietnam, termasuk kerjasama dalam industri halal.

Malaysia akan membantu Vietnam mengenai standard halal, penilaian pematuhan dan akreditasi.

Mesyuarat tersebut juga membincangkan kemungkinan kerjasama dalam Ekonomi Hijau, seperti dalam sektor Kenderaan Elektrik (EV) dan tenaga boleh diperbaharui, terutamanya tenaga angin luar pesisir dan darat.

Vietnam menyatakan sokongan mereka kepada Malaysia dalam memacu usaha integrasi ekonomi ASEAN ke tahap yang lebih tinggi melalui Keberhasilan Ekonomi Berkeutamaan semasa tahun penganjuran Malaysia.

Pada tahun lepas, Vietnam merupakan rakan dagang Malaysia yang ke-11 terbesar manakala Malaysia merupakan rakan dagang Vietnam yang ke-10 terbesar di seluruh dunia.

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Vietnam adalah AS$17.38 bilion bersamaan dengan RM79.42 billion pada 2023 merentasi pelbagai sektor, termasuk pembuatan, pertanian dan perkhidmatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya