PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia berpotensi kembali menjadi kuasa ekonomi serantau, sekiranya Keluaran Dalam Negara Kasar (KNDK) suku kedua menepati unjuran 5.8 peratus oleh Jabatan Perangkaan.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, saiz ekonomi semasa negara berada di kedudukan keenam besar di rantau Asia Tenggara, di belakang Vietnam.
Katanya, walaupun masih banyak lagi yang perlu dilakukan, petanda perubahan positif telah dapat dilihat daripada acuan model ekonomi yang dibentuk oleh kerajaan termasuk pelaburan asing yang bertambah, prestasi Bursa Malaysia yang meningkat dan nilai ringgit yang kembali mengukuh.
“Ekonomi domestik pula semakin rancak dengan pertumbuhan setiap sektor yang meningkat daripada sektor peruncitan, pembinaan, teknologi informasi, perkhidmatan, pelancongan serta jualan kenderaan dan rumah yang terus berganda setiap bulan.
“KDNK tahun ini akan berada dalam unjuran awal Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu antara 4.0 ke 5.0 peratus, walaupun pada suku pertama mencapai 4.2 peratus dan jangkaan suku kedua pula 5.8 peratus mengikut data awal Jabatan Perangkaan.
“Ini kerana, masih terlalu banyak faktor yang masih mengancam ekonomi dan politik global seperti krisis geopolitik di Asia Barat dan Eropah Timur serta ancaman virus baharu tetap memberi risiko yang berkemungkinan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, prestasi ekonomi pada suku kedua jelas menunjukkan aktiviti ekonomi negara semakin aktif.
Menurutnya, ini dapat dilihat apabila ramai yang sudah mendapat pekerjaan serta transaksi perniagaan juga semakin rancak.
Jelasnya, semua sektor mencatatkan pertumbuhan positif dan sektor pertanian dan pembinaan mencatatkan pertumbuhan yang begitu pesat.
“Kami telah menyemak KDNK daripada 4.5 peratus untuk keseluruhan 2024 kepada 4.7 peratus. Namun, terdapat kemungkinan untuk mencecah 5.0 peratus atau lebih disebabkan sektor domestik yang bergerak aktif.
“Berdasarkan momentum sedia ada, pertumbuhan ekonomi pada separuh tahun kedua dijangka berlegar sekitar 4.8 sehingga 4.9 peratus.
“Perkara ini disebabkan sentimen berhati-hati dalam kalangan pengguna dan peniaga ekoran jangkaan kenaikan kos sara hidup dan perniagaan selepas pelarasan subsidi bahan api,” ujarnya.
Jumaat lalu, Jabatan Perangkaan mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 5.8 peratus pada suku tahun kedua 2024, meningkat daripada 4.2 peratus pada suku sama tahun sebelumnya, sekali gus bakal menjadi pertumbuhan tertinggi sejak suku keempat 2022 yang mencatatkan 7.4 peratus.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd. Uzir Mahidin berkata, bagi separuh pertama 2024, KDNK meningkat 5.0 peratus berbanding 4.1 peratus dalam tempoh sama tahun sebelumnya. – UTUSAN