Malaysia catat nilai dagangan tertinggi hampir RM1.4 trilion pada separuh pertama - Utusan Malaysia

Malaysia catat nilai dagangan tertinggi hampir RM1.4 trilion pada separuh pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan nilai perdagangan tertinggi sebanyak RM1.396 trilion, meningkat 8.4 peratus tahun ke tahun dalam enam bulan pertama 2024 berbanding tempoh sama tahun lepas.

Perdagangan itu mengekalkan trajektori menaik, berkembang secara konsisten sejak Januari 2024 dan merekodkan kenaikan 8.7 peratus tahun ke tahun pada Jun 2024 kepada RM237.81 bilion.

Pelaburan diluluskan pula berada pada RM83.7 bilion dalam tempoh tiga bulan pertama 2024, naik 13 peratus berbanding RM74.1 bilion yang dicatatkan sepanjang tempoh sama tahun lalu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, nilai perdagangan tertinggi itu didorong oleh eksport dan import yang kukuh pada Jun 2024.

“Eksport pula mencatatkan pertumbuhan untuk bulan ketiga berturut-turut, meningkat sebanyak 1.7 peratus kepada RM126.05 bilion, manakala import naik 17.8 peratus kepada RM111.76 bilion.

“Eksport dan pelaburan menjadi penyumbang utama dalam perdagangan, justeru inisiatif MITI akan lebih tertumpu kepada bagaimana untuk menarik pelaburan dan meningkatkan eksport negara.

“Inisiatif MITI sepanjang suku kedua 2024 seperti menarik pelaburan berpotensi melalui hubungan dagang dengan Qatar (berjaya menarik RM700 juta eksport berpotensi), Kazakhstan (RM1.7 bilion), Uzbekistan (RM700 juta) turut menyumbang kepada peningkatan perdagangan negara,” katanya pada sidang media Kad Laporan Miti Suku Kedua 2024, di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, MITI melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyasarkan pelaburan diluluskan bagi tahun ini akan meningkat kira-kira 5.0 peratus berbanding tahun lalu (RM329 bilion).

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun sudah melepasi sasaran pelaburan ditetapkan pada suku pertama tahun ini.

“Saya percaya Malaysia dapat meraih pelaburan diluluskan lebih tinggi pada 2024 selepas merekodkan jumlah tertinggi dalam sejarah sebanyak RM329.5 bilion tahun lalu.

“Bagaimanapun, kami akan menyemak semula angka sasaran (pelaburan diluluskan) berikutan sasaran sebelum ini sudah dicapai pada suku pertama 2024,” katanya.

Tambahnya, pertumbuhan pelaburan bagi tahun ini kebiasaannya selari dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Oleh itu, kami meletakkan dahulu sasaran peningkatan lima peratus sesuai dengan unjuran 4.0 peratus ke 5.0 peratus pada 2024,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya