Malaysia Airports, YIDE kerjasama wujudkan pusat dialisis di Masjid KLIA - Utusan Malaysia

Malaysia Airports, YIDE kerjasama wujudkan pusat dialisis di Masjid KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) bekerjasama bagi mewujudkan sebuah pusat dialisis di Masjid Sultan Abdul Samad Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dekat sini.

Inisiatif di bawah program tanggungjawab korporat Malaysia Airports, iaitu MYAirportCARES itu
bagi kemudahan komuniti sekitar KLIA, khususnya pesakit buah pinggang.

Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports (MA Sepang), merangkap Nazir Masjid KLIA, Mohd. Arif Jaafar berkata, masjid tersebut di bawah pengurusan MA (Sepang) dan idea bagi pembinaan pusat dialisis ini dicetuskan oleh Jawatankuasa Zakat Malaysia Airports yang bertanggungjawab mentadbir peruntukan wakalah agihan zakat syarikat.

Jelasnya, sebagai salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan, pihaknya sentiasa cakna dengan keperluan komuniti setempat dan sentiasa berusaha untuk memastikan inisiatif tanggungjawab korporat dapat memberi impak yang signifikan kepada masyarakat setempat.

“Kami difahamkan negeri Selangor mempunyai jumlah pesakit dialisis tertinggi lebih 1,000 orang.

“Kewujudan pusat dialisis di Masjid KLIA sedikit sebanyak akan dapat membantu memenuhi keperluan pesakit, terutamanya kerana hanya caj rawatan minimum yang akan dikenakan kelak di pusat ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, peranan Malaysia Airports di dalam usaha sama itu adalah dalam penyediaan infrastruktur dan sokongan kewangan, manakala, YIDE sebagai rakan kolaboratif utama akan menguruskan operasi pusat dialisis yang akan dibina.

“Sebanyak RM50,000 telah disumbangkan oleh Malaysia Airports kepada YIDE sebagai dana permulaan bagi pembinaan pusat dialisis ini, dan baki dana akan diperoleh daripada wakalah agihan zakat perniagaan dan tabung infaq telah ditempatkan di Masjid KLIA bermula 28 Jun lalu,” katanya.

Majlis menandatangani dokumen usahasama tersebut telah disempurnakan oleh Mohd Arif Jaafar dan Pengurus Besar YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah, serta disaksikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Mohamed Rastam Shahrom dan Pengerusi YIDE, Tan Sri Mazlan Mansor.

Majlis Menandatangani Dokumen Usaha Sama (MoC) di antara kedua-dua pihak berlangsung di Masjid KLIA pada 28 Jun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya