PETALING JAYA: Malaysia Airports menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) untuk memajukan pembangunan dan pemasaran Zon 3 dan 4 di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Lapangan Terbang Subang).
Menurutnya dalam kenyataan, pembangunan zon-zon itu ditetapkan untuk segmen penerbangan perniagaan dan aeroangkasa di bawah Rancangan Pemulihan Lapangan Terbang Subang (SARP).
“Ini merangkumi penciptaan kawasan baharu untuk hangar penerbangan perniagaan dan pengukuhan ekosistem aeroangkasa yang memenuhi keperluan pengeluar aeroangkasa, penghimpun dan pengendali MRO komponen.
“Kerjasama ini dijangka mewujudkan ekosistem yang kukuh yang memupuk inovasi, kemampanan, dan pertumbuhan ekonomi di rantau ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua KLIA Aeropolis Sdn. Bhd., Randhill Singh berkata, kerjasama itu adalah satu pencapaian penting dalam usaha memposisikan Lapangan Terbang Subang sebagai hab global untuk penerbangan dan aeroangkasa.
““Kami bertujuan untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan mewujudkan peluang baru untuk komuniti setempat dengan menggabungkan sumber dan kepakaran kami.
“Perkongsian ini menandakan langkah penting dalam meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri penerbangan dan aeroangkasa global.
“Pembangunan SARP dijangka menjadi tonggak pertumbuhan ekonomi Malaysia, menawarkan kemudahan terkini dan persekitaran dinamik untuk perniagaan berkembang,” katanya mewakili Malaysia Airports.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO), Ts. Saipolyazan M Yusop berkata, MBI gembira bekerjasama dengan Malaysia Airports untuk membuka potensi besar Zon 3 dan Zon 4 di Lapangan Terbang Subang.
“Kerjasama strategik ini selari dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1), terutamanya fokusnya pada pembangunan koridor pertumbuhan di negeri ini.
“Dengan mewujudkan hab khusus untuk penerbangan perniagaan dan mengukuhkan ekosistem aeroangkasa, kami menjangka akan menjana manfaat ekonomi yang signifikan untuk rantau ini,” katanya.
Beliau yang mewakili MBI berkata, pembangunan itu secara langsung menyokong matlamat negeri, di mana Lapangan Terbang Subang bertujuan, terutamanya melayani sektor penerbangan perniagaan, manakala KLIA Aeropolis melayani sektor penerbangan komersial.
“Pembahagian yang jelas ini akan memberikan kejelasan untuk pembangunan kawasan sekitar di Subang dan Sepang, termasuk limpahan ekonomi ke koridor ekonomi SMG-ZPE dan IDRISS kami.
“Kerjasama strategik ini dijangka meningkatkan pendedahan dan mewujudkan usaha promosi yang sangat fokus untuk menarik pemain industri, termasuk pengeluar aeroangkasa terkemuka, penyedia perkhidmatan MRO, dan institusi penyelidikan.
“Ini akan memupuk ekosistem yang kukuh untuk inovasi dan penciptaan pekerjaan, memposisikan Selangor sebagai destinasi pelaburan utama dalam sektor aeroangkasa Asia Tenggara,” katanya. – UTUSAN