MAA naikkan unjuran jualan kenderaan tahun ini kepada 765,000 unit - Utusan Malaysia

MAA naikkan unjuran jualan kenderaan tahun ini kepada 765,000 unit

UNJURAN jualan kenderaan bagi tahun ini dijangka meningkat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyemak semula unjuran jualan kenderaan untuk tahun ini kepada 765,000 unit, lebih tinggi daripada anggaran sebelumnya iaitu 740,000 unit.

Presiden MAA, Mohd. Shamsor Mohd. Zain berkata, jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi kenderaan penumpang akan meningkat kepada 696,150 unit berbanding unjuran asal 666,000 unit, namun kenderaan komersial dijangka menurun kepada 68,850 unit berbanding jangkaan awal 74,000 unit.

“Bagaimanapun, unjuran baharu ini lebih rendah sebanyak 4.3 peratus atau 34,731 unit daripada jualan pecah rekod sebanyak 799,731 unit yang dicapai pada 2023,” katanya pada taklimat media prestasi sektor automotif separuh pertama dan Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (KLIMS’24) di sini, semalam.

Beliau berkata, beberapa faktor diambil kira dalam unjuran TIV yang disemak semula untuk 2024, termasuk ekonomi domestik yang berdaya tahan.

“Kerajaan optimis mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang dijangka berkembang dalam julat ramalan rasmi antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus.

“Keputusan pengekalan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus juga dijangka membantu merangsang perbelanjaan domestik termasuk untuk barangan bernilai tinggi seperti kereta baharu.

“Selain itu, tempahan tertunggak yang sihat, terutamanya dalam pasaran kereta penumpang segmen A menunjukkan permintaan yang kuat yang akan terus mendorong jualan dalam segmen ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penjualan kenderaan baharu meningkat 6.6 peratus atau 24,120 unit iaitu sebanyak 390,296 unit pada separuh pertama 2024 berbanding 366,176 pada separuh pertama 2023.

“Peningkatan itu telah mencapai 53 peratus daripada unjuran 2024 MAA sebanyak 740,000 unit, didorong terutamanya oleh prestasi kukuh subsegmen kereta penumpang yang menyumbang peningkatan volum terbesar.

“Subsegmen kereta penumpang menyumbang sebanyak 356,859 unit pada separuh pertama 2024 berbanding 326,697 unit pada separuh pertama tahun lalu,” katanya.

Selain itu, katanya, ekonomi domestik yang kukuh di mana KDNK negara berkembang pada kadar yang lebih tinggi iaitu 4.2 peratus pada suku pertama 2024 dan OPR yang kekal stabil 3.0 peratus sejak Mei 2023 memberikan persekitaran ekonomi yang kondusif.

“Dalam masa sama, persekitaran sosiopolitik dan pasaran pekerjaan yang stabil turut menyumbang kepada TIV yang lebih tinggi pada separuh pertama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya