Koop Sahabat lancar Rumah Selangorku Shorea Garden - Utusan Malaysia

Koop Sahabat lancar Rumah Selangorku Shorea Garden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) Berhad melancarkan perumahan mampu milik Rumah Selangorku Shorea Garden sempena Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara 2024 peringkat Wilayah Persekutuan (HKNWP’24) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai RM63.8 juta.

Sebanyak 230 unit dibuka untuk jualan pada harga bermula RM275,000 untuk projek yang dibangunkan di atas tanah seluas 10 ekar itu.

Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd. Najib Mohd. Noor berkata, projek pembangunan itu merupakan usaha sama diantara Koop Sahabat dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah
Negeri Selangor (LPHS).

“Projek ini merupakan inisiatif SKMWP bersama Koop Sahabat bagi memberi galakan kepada koperasi untuk menceburi bidang pembangunan hartanah yang menarik untuk diterokai,” katanya dalam kenyataan.

Pelancaran itu dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Pada majlis perasmian itu, New Strategic Initiatives (NSI) oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia Wilayah Persekutuan (SKMWP) yang menyasarkan pembangunan hartanah bagi projek pembinaan rumah mampu milik telah berjaya dicapai hasil pelancaran projek itu.

Jelas Mohd. Najib, program itu merupakan usaha sama syarikat itu dengan SKMWP bagi menggalakkan koperasi menceburi bidang hartanah.

Katanya, projek lain yang bakal dilancarkan termasuk Projek Integrasi Residensi Prihatin dan Residensi Prihatin, di Presint 5 Putrajaya dikenali Residensi Serunai.

“Koop Sahabat bakal melancarkan projek pembangunan Rumah SelangorKu Jenis Trio sebanyak 1,210 unit dan 244 unit kondominium di Bukit Bandaraya Shah Alam,” katanya.

Sementara itu, Koop Sahabat telah diiktiraf sebagai koperasi kedua terbaik di Wilayah Persekutuan Oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia Wilayah Persekutuan semasa majlis itu.

Pengiktirafan itu merupakan tahun yang ke enam di mana syarikat itu berada dalam senarai 10 Koperasi terbaik di Malaysia.

Koop Sahabat menyatakan pengiktirafan itu juga berdasarkan kecemerlangan dalam urus tadbir dan peningkatan prestasi direkodkan pada tahun semasa.

Syarikat itu telah mengumumkan pengagihan kadar dividen pada tahun kewangan 2023 sebanyak 10 peratus kepada anggotanya.

“Kami berhasrat untuk mengekalkan keemerlangan prestasi perniagaan bagi memberi pulangan dividen kadar terbaik pada tahun-tahun akan datang dan memberi manfaat kepada lebih 450,000 orang anggota, ” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN