PETALING JAYA: Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien Malaysia (PPHM) menjangkakan kira-kira 3,500 delegasi, termasuk peserta tempatan dan antarabangsa akan menyertai Konvensyen Dunia Fujian Ke-11 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 7 hingga 9 November depan.
Konvensyen itu disertai lebih 20 buah negara termasuk Amerika Syarikat, Kanada, pelbagai negara Eropah, Australia, New Zealand, China, Hong Kong, Macau, Taiwan, Jepun, dan negara ASEAN termasuk Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam, Laos, Myanmar, dan Kemboja.
Acara tersebut juga dijangka menarik kira-kira 2,000 penyertaan dari wakil tempatan dan organisasi Fujian.
Presiden PPHM, Tan Sri Ir Dr. Lim Hock San berkata, konvensyen ini dijangka memberi sumbangan dan manfaat ekonomi yang besar, merentasi pelbagai sektor dengan penyertaan peserta antarabangsa.
Katanya, ini termasuk dalam pelancongan dan hospitaliti, ekonomi industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE), pengangkutan, makanan dan membeli-belah, kerjasama dan pelaburan perniagaan, pertukaran budaya dan meningkat serta memperkukuhkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Kami mengalu-alukan kedatangan semua masyarakat Fujian di seluruh dunia untuk menyertai kami di konvensyen ini.
“Bersama-sama, kita akan bersatu untuk berkongsi sentimen kampung halaman, merancang untuk pembangunan masa depan, di samping menyumbang kepada kemakmuran ekonomi Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, acara ini antara lain bertujuan untuk memperkukuhkan ikatan kekeluargaan, mempromosikan pembangunan bersama, membina hubungan kerjasama erat, di samping pertukaran idea dan buah fikiran di kalangan komuniti Fujian dari luar negara.
“PPHM berbesar hati untuk mengesahkan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai tetamu kehormat di majlis perasmian yang dijadualkan berlangsung pada 9 November depan.
“Ini selari dengan inisiatif konsep Malaysia Madani, sekali gus menekankan komitmen PPHM untuk memahami dan menerima kepelbagaian agama, budaya dan adat resam, memupuk perpaduan, di samping mempromosikan hubungan harmoni,” katanya.
Dengan bertemakan ‘Belayar di Laluan Sutera Maritim, Mengumpulkan Sentimen Fujian’, konvensyen ini menggambarkan semangat penerokaan global, perdagangan dan pertukaran budaya yang telah lama menjadi ciri warisan Fujian.
Penganjuran Konvensyen ini amat istimewa kerana ia menandakan ulang tahun ke-30 konvensyen dan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China, yang terjalin pada 31 Mei 1974.
Sepanjang lima dekad ini, Malaysia dan China telah mencapai kemajuan yang luar biasa dalam kolaborasi ekonomi, budaya dan pendidikan.-UTUSAN