KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu melakukan langkah yang lebih progresif untuk menangani kos sara hidup bagi mengurangkan kebergantungan kepada subsidi dan lebih berdaya tahan.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM) Prof Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, masalah yang berlaku di negara ini bukannya harga barang yang semakin meningkat tetapi adalah gaji.
Katanya, Malaysia berada pada kedudukan 116 dalam kalangan negara yang mempunyai harga yang murah, namun rakyat Malaysia menafikan perkara tersebut.
“Ini kerana, masalahnya bukan pada harga tetapi pada gaji. Saya mendesak agar kerajaan menelitinya.
“Pengenalan gaji progresif adalah salah satu cara untuk menangani semua itu tetapi bagaimana untuk melakukannya adalah subjek yang berbeza. Saya rasa kerajaan perlu mengenal pasti struktur gaji dan sebagainya.
“Tetapi bagaimana untuk melakukannya adalah sesuatu yang secara amnya perlu dipantau lebih banyak lagi,” katanya ketika ditemui pemberita pada PNB Knowledge Forum (PKF) 2024 di sini, hari ini.
Sementara itu, Noor Azlan berkata, negara perlu beralih daripada ‘ketagihan’ harga murah dan berganjak kepada harga adil.
Beliau berkata, apabila rakyat terlalu bergantung kepada subsidi untuk memastikan harga barang rendah, maka kerajaan tidak mempunyai dana untuk pembangunan.
“Sudah tentu, saya tidak cuba untuk mengatakan bahawa semuanya perlu dihapuskan, tetapi ada perkara tertentu terutamanya perkara yang masuk ke dalam ekonomi.
“Idea untuk merasionalisasikan subsidi di Malaysia telah lama diutarakan. Jadi, kita harus menuju ke arah itu. Tetapi sekali lagi, cabarannya ialah bagaimana anda melakukannya,” ujarnya. – UTUSAN