KDNK Malaysia diunjur berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2024 - Utusan Malaysia

KDNK Malaysia diunjur berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2024

EKONOMI Malaysia dianggar berkembang 4.7 peratus tahun ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 5.8 peratus pada suku tahun kedua 2024, meningkat daripada 4.2 peratus pada suku sama tahun sebelumnya, sekali gus bakal menjadi pertumbuhan tertinggi sejak suku keempat 2022 yang mencatatkan 7.4 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd. Uzir Mahidin berkata, bagi separuh pertama 2024, keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat 5.0 peratus berbanding 4.1 peratus dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

“Ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan momentum pertumbuhannya, disokong faktor domestik dan eksport dengan prospek positif untuk baki tempoh tahun ini.

“Peningkatan perbelanjaan penggunaan isi rumah dirangsang oleh musim perayaan dan cuti sekolah serta pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 pada April 2024.

“Tambahan pula, sejumlah RM6.98 bilion telah dikeluarkan daripada Akaun 3 (Akaun fleksibel) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat Jun 2024 untuk menyokong keperluan kewangan jangka pendek,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan, anggaran pertumbuhan itu sejajar dengan indikator terkini seperti Indeks Pengeluaran Perindustrian yang masing-masing meningkat 6.1 peratus dan 2.4 peratus pada April dan Mei berbanding tahun sebelumnya.

“Sementara itu, nilai jualan borong dan runcit meningkat 6.6 peratus pada April dan 7.1 peratus pada Mei berdasarkan asas tahun ke tahun. Bagi sektor luaran, jumlah perdagangan, eksport dan import mengalami peningkatan berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

“Faktor lain termasuk peningkatan ketibaan pelancong serta pengeluaran kelapa sawit dan kemajuan pembangunan projek mega,” katanya.

Beliau berkata, prestasi ekonomi pada suku tahunini dipacu oleh sektor perkhidmatan dengan hampir semua sektor utama menunjukkan pertumbuhan yang lebih baik berbanding suku tahun sebelumnya.

“Sektor perkhidmatan terus meningkat kepada 5.6 peratus berbanding 4.7 peratus pada suku pertama, disokong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan serta kewangan dan insurans.
“Sektor pembuatan meningkat kepada 4.7 peratus daripada 1.9 peratus pada suku tahun sebelumnya, disokong oleh pertumbuhan dalam semua subsektor, terutamanya daripada produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik.

“Di samping itu, sektor pembinaan kekal dengan pertumbuhan dua digit, 17.2 peratus daripada 11.9 peratus pada suku sebelumnya, didorong prestasi yang kukuh dalam semua subsektor, terutamanya kejuruteraan awam dan aktiviti pembinaan pertukangan khas.

Tambahnya, sektor pertanian meningkat 7.1 peratus pada suku dalam tinjauan daripada 1.6 peratus pada suku pertama, disumbangkan oleh pertumbuhan yang memberangsangkan dalam subsektor Kelapa sawit.

“Sementara itu, sektor perlombongan dan pengkuarian bertumbuh perlahan kepada 3.3 peratus berbanding 5.7 peratus pada suku tahun sebelumnya, disebabkan oleh subsektor gas asli yang menyederhana,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya