Jumlah permohonan pinjaman rumah naik RM58.5 bilion pada Mei 2024 - Utusan Malaysia

Jumlah permohonan pinjaman rumah naik RM58.5 bilion pada Mei 2024

PENINGKATAN jumlah permohonan pinjaman rumah mencerminkan permintaan terhadap sektor hartanah yang positif. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah permohonan pinjaman pembelian rumah pada Mei 2024 mencatatkan peningkatan kepada RM58.5 bilion sekali gus membuktikan permintaan kukuh di dalam sektor itu, menurut MIDF Research.

Firma penyelidikan itu berkata, permohonan pinjaman yang lebih tinggi itu sejajar dengan jangkaan permintaan yang lebih kukuh pada 2024, didorong oleh prospek yang bertambah baik untuk sektor hartanah.

“Secara kumulatif, jumlah permohonan pinjaman dalam tempoh lima bulan pertama 2024 adalah lebih tinggi pada RM254.5 bilion yang menunjukkan minat belian yang lebih kukuh ke atas hartanah.

“Kami berpendapat minat belian yang lebih kukuh ini disokong oleh kediaman tidak terjual yang lebih rendah, prospek harga rumah yang stabil dan prospek ekonomi yang bertambah baik untuk Malaysia,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, mereka kekal positif terhadap sektor hartanah kerana data permohonan pinjaman yang positif menandakan minat belian lebih kukuh yang seharusnya menyokong prospek pendapatan pemaju

“Pilihan utama untuk sektor itu ialah Mah Sing Group (beli, harga sasaran (TP): RM1.97) dan Matrix Concepts (beli, TP: RM2.05).

“Kami memilih Mah Sing kerana pendedahannya yang tinggi kepada segmen kediaman mampu milik yang disokong oleh permintaan belian yang kukuh.

“Mah Sing terus mengembangkan bank tanahnya dengan penggearan bersih rendah sebanyak 0.06x yang sepatutnya terus mengekalkan pertumbuhan jualan dan pendapatan baharunya.

“Selain itu, penerokaan ke dalam perniagaan pusat data akan memberikan pendapatan berulang dalam jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, katanya, MIDF Research positif terhadap Matrix Concepts berikutan jualan yang berdaya tahan dari perbandaran Bandar Sri Sendayan di Seremban, Negeri Sembilan yang disokong oleh permintaan untuk rumah bertanah mampu milik.

“Kumpulan itu turut terus mengembangkan bank tanahnya di Labu yang akan memacu pertumbuhan pendapatan selepas tahun kewangan 2027,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya