Jualan borong, runcit melonjak RM147.9 bilion pada Mei - Utusan Malaysia

Jualan borong, runcit melonjak RM147.9 bilion pada Mei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan bulanan berjumlah RM147.9 bilion pada Mei 2024, berkembang 7.1 peratus tahun ke tahun.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan tersebut dipacu oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat 8.7 peratus atau RM5.1 bilion kepada RM64 bilion.

Katanya, perdagangan borong juga tumbuh 4.7 peratus atau RM2.9 bilion kepada RM65.1 bilion, diikuti oleh kenderaan bermotor dengan peningkatan 10.5 peratus atau RM1.8 bilion untuk mencapai RM18.8 bilion.

“Bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong dan runcit naik 2.0 peratus berbanding bulan sebelumnya, disokong oleh kenderaan bermotor dan perdagangan borong, masing-masing dengan 8.8 peratus dan 2.0 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Beralih kepada prestasi mengikut subsektor, Mohd. Uzir berkata, pertumbuhan 8.7 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan runcit disumbangkan oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang tumbuh 10.7 peratus atau RM2.4 bilion kepada RM24.9 bilion.

“Kumpulan lain dalam subsektor ini turut merekodkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit di kedai pengkhususan (12.8 peratus), jualan runcit bahan api kenderaan (8.1 peratus), jualan runcit barangan isi rumah (5.3 peratus) dan jualan runcit makanan, minuman dan embakau (9.6 peratus).

“Turut mencatatkan pertumbuhan adalah jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi (3.4 peratus), jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (8.0 peratus) dan jualan runcit di gerai dan pasar (5.9 peratus).

“Bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini menokok 0.3 peratus, disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (0.9 peratus), jualan runcit bahan api kenderaan (0.6 peratus) dan jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi (1.1 peratus),” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai subsektor perdagangan borong, beliau berkata, kenaikan 4.7 peratus tahun ke tahun pada bulan ini disokong oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat RM0.9 bilion atau 4.0 peratus kepada RM24.1 bilion.

“Ini diikuti oleh jualan borong barangan isi rumah (6.5 peratus), jualan borong makanan, minuman dan tembakau (6.2 peratus), jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (3.9 peratus), dan jualan borong jentera, peralatan dan bekalan (1.8 peratus).

“Seterusnya adalah perdagangan borong tanpa pengkhususan (4.3 peratus) dan jual borong berdasarkan kontrak atau yuran (2.2 peratus),” jelasnya.

Mohd. Uzir memberitahu, pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 10.5 peratus bagi subsektor kenderaan bermotor pada Mei dipacu oleh jualan kenderaan bermotor yang melonjak 11.1 peratus atau RM1.0 bilion untuk merekodkan RM9.9 bilion.

“Ini diikuti oleh jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor (11.9 peratus) dan penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (12.8 peratus),” katanya.

Bagi indeks jualan runcit melalui internet, beliau berkata, indeks ini berkembang 5.2 peratus tahun ke tahun pada Mei 2024 berbanding 4.3 peratus pada April 2024.

“Bagi nilai pelarasan musim, indeks ini menyusut 4.7 peratus berbanding bulan sebelum. Dari segi indeks volum, perdagangan borong dan runcit pada Mei 2024 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.7 peratus.

“Pengembangan ini disumbangkan oleh semua subsektor iaitu kenderaan bermotor (9.6 peratus), perdagangan runcit (6.8 peratus) dan perdagangan borong (3.4 peratus). Sebaliknya, bagi indeks volum pelarasan musim, ia jatuh 0.9 peratus bulan ke bulan,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya