JP Morgan naikkan penarafan Malaysia kepada neutral selepas enam tahun - Utusan Malaysia

JP Morgan naikkan penarafan Malaysia kepada neutral selepas enam tahun

JP Morgan menaikkan penarafan Malaysia kepada neutral selepas enam tahun underweight. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: JP Morgan menyemak naik penarafan Malaysia daripada ‘underweight’ kepada ‘neutral’ buat pertama kali selepas enam tahun, didorong faktor utama termasuk pembaharuan dasar, pelaburan pusat data dan pembinaan infrastruktur.

Ketua Asia-Pasifik JP Morgan (bekas Jepun/China), Rajiv Batra berkata, kadar kemajuan pesat Malaysia amat mengagumkan dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.2 peratus pada suku pertama 2024.

“Petanda positif tersebut jelas pada tahun lepas dengan pertumbuhan pendapatan hampir menjejaki paras 10 hingga 11 peratus.

“Kami perlu memberi kredit kepada negara (Malaysia), oleh itu kami meningkatkan penarafan kami kepada neutral,” katanya dalam temu bual bersama CNBC kelmarin.

Rajiv turut menyentuh mengenai langkah berani Malaysia dalam melaksanakan rasionalisasi subsidi termasuk subsidi diesel baru-baru ini dan menekankan bahawa mereka yang memerlukan diberi bantuan tunai bulanan.

“Salah satu langkah berani yang diambil oleh pentadbiran Malaysia adalah memotong subsidi, satu langkah yang sering dianggap kontroversi dan sensitif.

“Rakyat juga menyedari penjimatan daripada pemotongan subsidi ini diarahkan ke penggunaan yang produktif dalam ekonomi, sama ada dalam literasi, kemahiran semula atau dasar gaji progresif, iaitu Malaysia cuba ambil inspirasi dari Singapura,” ujarnya.

Peningkatan penarafan Malaysia juga mencerminkan penetapan semula tadbir urus susulan skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Menurut beliau, kerajaan juga telah meluluskan beberapa dasar dan pembaharuan yang sukar, memetik pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

“Pentadbiran kekal komited kepada penyatuan fiskal tanpa mengorbankan pertumbuhan, menyasarkan kadar pertumbuhan lima peratus.

“Perubahan persepsi dalam kalangan pelabur antarabangsa adalah jelas kerana Malaysia telah menyaksikan pelabur asing kembali semula selepas aliran keluar sebelumnya.

“Kami mengalami AS$7 bilion aliran keluar dalam ekuiti Asean tahun ini. Malaysia bermula dengan sekitar AS$150 juta hingga AS$160 juta aliran keluar pada suku pertama, namun menyaksikan pulangan AS$200 juta pada suku kedua,” katanya.

Jelas beliau, Malaysia yang sebelum ini telah jatuh dari radar dalam kalangan pelabur asing kini mula menarik perhatian pelabur dan antara sebabnya adalah potensi Malaysia sebagai hab teknologi.

“Pusat data adalah yang diperkatakan oleh semua orang. Pulau Pinang telah membuktikan potensi sebagai hab teknologi secara keseluruhan. Malaysia menawarkan pelbagai sektor dan idea.

“Wang asing telah kembali ke Malaysia. Selain itu, kami melihat pelabur asing akan menceburi kenderaan elektrik (EV),tenaga hijau, projek solar dan pusat data,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau menekankan bahawa mungkin terdapat cabaran seperti rasionalisasi subsidi, turun naik luaran dan potensi kesan pilihan raya Amerika Syarikat (AS) akan datang yang boleh menjejaskan perbelanjaan pengguna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya