KUALA LUMPUR: Johor Plantations Group Bhd (JPG) meneroka sumber pendapatan alternatif untuk mempelbagaikan tanahnya di luar penggunaan ladang tradisionalnya.
Pengarah Urusannya, Mohd. Faris Adli Shukery berkata, menukar tanah yang tidak digunakan untuk tujuan tenaga akan dapat meningkatkan pendapatan hasil kepada kumpulan.
“Kami sedang (melihat sumber pendapatan alternatif). Seperti yang anda lihat, menukar tujuan untuk tenaga dapat meningkatkan pendapatan hasil kami kepada kumpulan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas penyenaraian syarikat itu di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai rancangan untuk memajak tanah untuk solar berskala besar (LSS).
JPG memiliki 56,000 hektar tanah ladang, merancang untuk menilai “skim yang betul” sebelum memberi komitmen kepada penjanaan tenaga solar.
Sehingga Mei, kumpulan itu mempunyai sejumlah 55,904 hektar tanah di 23 ladang kelapa sawit, termasuk 22 di Johor dan satu di negeri Pahang.
Semua ladang dan kilang JPG diperakui sepenuhnya di bawah program pensijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) antarabangsa untuk minyak sawit mampan.
Sementara itu, Pengerusi JPG, Tan Sri Dr. Ismail Bakar berkata, cadangan levi keuntungan luar biasa (WPL) ke atas minyak sawit dijangka memberi kesan kepada pemain ladang tempatan.
“WPL akan memberi kesan kepada pendapatan syarikat secara keseluruhan, tetapi ia bergantung kepada berapa banyak kerajaan mengenakan kadar levi,” ujarnya.
Minggu lalu, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani memberitahu kementeriannya akan mengumpul data berkaitan kos terbabit daripada semua pemain industri sawit, sebelum sebarang keputusan berhubung WPL dihantar kepada Kementerian Kewangan (MOF).
Johari sebelum ini berkata Malaysia akan menjadi tidak berdaya saing berbanding negara pengeluar lain, sekiranya WPL minyak sawit tidak disemak semula.
Pada masa ini, kadar WPL sebanyak tiga peratus dikenakan ke atas minyak sawit berharga melebihi RM3,000 setan di Semenanjung Malaysia dan melebihi RM3,500 setan di Sabah dan Sarawak. – UTUSAN