Johor Plantations kumpul modal RM735 juta, terbesar dalam dua tahun - Utusan Malaysia

Johor Plantations kumpul modal RM735 juta, terbesar dalam dua tahun

PENGERUSI Johor Plantation Group Berhad (JPG), Tan Sri Dr. Ismail Bakar memukul gong sebagai simbolik penyenaraian saham JPG secara rasmi ke Pasaran Utama Bursa Malaysia (IPO) dalam majlis penyenaraian saham tersebut yang berlansung di Galeri Bursa Malaysia di sini, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Johor Plantations Group Bhd. (JPG) meraih modal mencecah RM735 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities), yang merupakan IPO terbesar negara dalam tempoh dua tahun.

Pengeluar minyak sawit itu memulakan dagangan yang mendatar pada 84 sen sesaham pada hari pertamanya di Pasaran Utama dengan 57.19 juta saham bertukar tangan.

Saham jatuh sedikit kepada 83 sen sebelum menokok kepada setinggi 93 sen dan didagangkan pada 91.5 sen pada pukul 9.30 pagi, menilai syarikat itu pada RM2.28 bilion.

Sejumlah RM389.8 juta diperoleh melalui tawaran awam 464 juta saham biasa baharu, manakala RM345.2 juta diperoleh melalui tawaran penjualan 411 juta saham biasa sedia ada.

Daripada jumlah hasil yang diperoleh daripada IPO, sebanyak RM196.8 juta akan digunakan untuk membina kompleks minyak sawit lestari bersepadu sebagai sebahagian daripada strategi JPG untuk meneroka segmen hiliran rantaian nilai perladangan.

Ini bersama-sama dengan aktiviti penanaman semula strategik bagi memastikan kemampanan jangka panjang ladangnya.

Sementara itu, kira-kira RM167.4 juta dan RM6.7 juta telah diperuntukkan untuk pembayaran balik pinjaman bank dan modal kerja masing-masing, manakala baki selebihnya akan digunakan untuk membayar anggaran perbelanjaan penyenaraian.

Pengerusinya, Tan Sri Dr. Ismail Bakar berkata, visi kumpulan adalah untuk menjadi pemain bersepadu dalam industri minyak sawit, menghasilkan minyak dan lemak khusus dengan jangkauan pasaran global.

“Ini memerlukan penerokaan strategik kami ke dalam segmen hiliran, komitmen kami untuk memajukan ekonomi kitaran dan memastikan daya maju dan kemampanan jangka panjang JPG.

“Dengan prospek yang menggalakkan berikutan trend menaik dalam permintaan global untuk minyak sayuran serta peralihan industri ke arah minyak sawit mentah bersumberkan mampan, kami percaya kami berada pada kedudukan strategik untuk mencapai peningkatan permintaan.

“Ini khususnya bagi minyak dan lemak yang dihasilkan secara mampan dan untuk memanfaatkan peluang di hadapan untuk mengembangkan bahagian pasaran kami,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Urusan JPG, Mohd. Faris Adli Shukery berkata, levi keuntungan luar biasa (WPL) yang akan dikenakan ke atas syarikat perladangan akan memberi kesan terhadap kumpulan.

“Namun, dalam konteks ini syarikat sedang membina nilai, jadi apa yang kami lakukan setakat ini adalah bagaimana kami membezakan minyak yang kami hasilkan dari segi pensijilan dan kualiti.

“Setakat ini kami melihat terdapat permintaan yang baik untuk minyak yang dihasilkan, bukan sahaja dari segi kualiti, tetapi juga dari segi pensijilan,” katanya.

RHB Investment Bank Berhad ialah penasihat utama, penyelaras global bersama, pemilik buku bersama, penaja jamin urusan dan penaja jamin bersama untuk IPO.

AmInvestment Bank Berhad dan CIMB Investment Bank Berhad ialah penyelaras global bersama, pemilik buku bersama dan penaja jamin bersama.

CLSA Singapore Pte Ltd dan CLSA Securities Malaysia Sdn. Bhd. ialah penyelaras global bersama dan pelancar buku bersama, manakala Affin Hwang Investment Bank Berhad ialah pemilik buku bersama dan penaja jamin bersama untuk IPO tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya