KUALA LUMPUR: Institusi kewangan perlu memfokuskan terhadap aspek digital terutama membabitkan keselamatan (sekuriti), infrastruktur dan tenaga kerja dalam menghadapi cabaran Kecerdasan Buatan (AI).
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, aspek tersebut penting dalam memanfaatkan AI untuk jangka masa panjang dan memainkan peranan penting dalam urusan perbankan.
“Bergerak ke hadapan, kita akan melihat bahawa AI mempunyai kesan untuk mengubah cara pengguna berurusan secara atas talian, terutama dengan bank dan institusi kewangan.
“Kita perlu bersiap sedia bukan sahaja untuk bersaing dengan syarikat-syarikat tempatan tetapi juga di peringkat serantau dan ASEAN.
“Jadi, sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam aspek digital dalam pelbagai sektor seperti institusi kewangan, sektor kesihatan dan sebagainya, kita harus pastikan platform itu selamat digunakan.
“Sebagai kerajaan juga, kami mengambil langkah untuk mewujudkan undang-undang supaya keselamatan digital ini terjamin,” katanya kepada media di Persidangan Perbankan Malaysia kali ketiga 2024, di sini, hari ini.
Selain itu, Gobind berkata, kepentingan ekonomi digital diakui semakin berkembang dan menyumbang besar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.
“Kerajaan mengunjurkan sumbangan ekonomi digital negara kepada KDNK akan melonjak kepada 25.5 peratus menjelang 2025.
“Saya cukup yakin kita boleh mencapai sasaran itu, malah boleh mencapai angka lebih besar,” katanya. – UTUSAN