Inisiatif konsolidasi tingkat keluaran getah, kurangkan import - Utusan Malaysia

Inisiatif konsolidasi tingkat keluaran getah, kurangkan import

MENTERI Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof (kanan), dan Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia, Datuk Dr. Zairossani Mohd Nor (kiri), ketika melancarkan logo 100 tahun Penyelidikan Getah dan buku bertajuk Glossary of Classification Rubber, pada Hari Teknologi Lembaga Getah Malaysia 2024, di Akademi Hevea Malaysia, Sungai Buloh, di sini semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Inisiatif konsolidasi oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam meningkatkan pengeluaran getah domestik dijangka dapat mengurangkan kebergantungan kepada import bersih getah yang mencecah RM5.7 bilion pada 2023 dan RM6.5 bilion (2022).

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, inisiatif itu mengenalpasti 420,000 hektar tanaman getah terbiar untuk dimajukan semula.

“Ini menerusi kerjasama Lembaga Getah Malaysia (LGM), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA).

“Jika tanah terbiar diusahakan semula, ia boleh menjana 550,000 tan getah asli untuk kegunaan industri hiliran tempatan, sekali gus mengurangkan import lebih satu juta tan bagi menampung keperluan positif industri berkaitan di peringkat domestik.

“Sekitar 1970, kita adalah antara pengeksport getah utama dunia dengan memiliki sekitar 1.1 juta hektar tanah. Namun, peredaran masa menyaksikan kita kurang produktiviti sehinggakan pengeluaran yang sebelum ini mencecah 1.1 juta tan berkurangan kepada 374,000 tan sahaja.

“Ia tidak cukup menyebabkan kita perlu mengimport dari Vietnam dan Thailand antaranya untuk menampung keperluan industri. Perubahan ini menjadikan Malaysia sebagai antara mengimport getah asli terbesar dunia,” katanya selepas merasmikan Hari Teknologi LGM semalam.

Justeru itu, katanya, kerajaan menggandakan usaha untuk mengenalpasti tanaman getah terbiar untuk diusahakan semula dan menyasarkan untuk mengurangkan 50 peratus jumlah import dalam 10 tahun akan datang.

Mengulas lanjut, Johari berkata, ketika ini terdapat 192,000 pekebun kecil yang masih aktif dan belum mencukupi untuk mengeluarkan lebih banyak getah asli untuk kegunaan di peringkat domestik.

“Kita akan sediakan pekerja pekerja. Kalau tiada pekerja tempatan, kita carilah pekerja asing dan boleh mohon untuk susun semula. Jadi, kita boleh mengeluarkan banyak lagi getah ini sehingga mencecah 800,000 ataupun satu juta,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan berdepan kekangan di mana pekebun kecil yang tidak lagi aktif tidak berminat menyerahkan tanah untuk diusahakan semula.

“Kerajaan berharap mereka dapat mempertimbangkan perkara ini dan memberi peluang kepada kita mengaktifkan semula taman getah terbiar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya