PETALING JAYA: Inflasi dijangka lebih tinggi pada separuh kedua 2024 berikutan rasionalisasi subsidi diesel baru-baru ini, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank pusat berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras berpurata pada 1.8 peratus pada lima bulan pertama tahun 2024.
“Seperti yang dijangka, inflasi akan lebih tinggi pada separuh kedua tahun 2024 berikutan rasionalisasi subsidi diesel baru-baru ini.
“Walau bagaimanapun, kenaikan inflasi masih terkawal berikutan langkah-langkah pengurangan yang dilaksanakan bagi meminimumkan kesan kos terhadap perniagaan,” katanya dalam kenyataan dasar monetari sempena mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) semalam.
BNM berkata, pada masa hadapan, risiko inflasi yang lebih tinggi akan bergantung pada sejauh mana kesan limpahan dasar dalam negeri selanjutnya berhubung dengan subsidi dan kawalan harga kepada trend harga yang lebih luas serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global.
“Bagi seluruh tahun 2024, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka berpurata dalam julat yang diunjurkan sebelum ini iaitu masing-masing antara 2.0 peratus hingga 3.5 peratus dan 2.0 peratus hingga 3.0 peratus,” ujarnya.
Mengulas mengenai ringgit, BNM berkata, pembaharuan struktur dalam negeri akan memberikan sokongan yang lebih berpanjangan kepada ringgit untuk tempoh jangka sederhana.
Menurutnya, nilai ringgit terus didorong terutamanya oleh faktor luaran iaitu jangkaan hala tuju dasar monetari ekonomi-ekonomi utama dan ketegangan geopolitik yang berterusan.
“Kesan positif daripada inisiatif terselaras oleh kerajaan dan BNM dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta libat urus syarikat korporat terus membendung tekanan terhadap ringgit.
“BNM akan terus menguruskan risiko yang berpunca daripada volatiliti pasaran kewangan yang ketara,” katanya. – UTUSAN