PETALING JAYA: IJM Land Berhad (IJM Land) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Progressture Power Sdn Bhd (Progressture Solar) untuk meneroka peluang perniagaan dalam memaksimumkan penggunaan tenaga solar.
Ketua Pegawai Eksekutif IJM Land, Datuk Wong Tuck Wai berkata, kerjasama dengan rakan kongsinya itu adalah untuk mencapai kapasiti berjumlah 40 megawatt peak (MWp) bagi projek pembangunan masa depan IJM Land.
Menurutnya, usaha sama itu membabitkan kerja pemasangan sistem fotovoltaik (PV) solar atas bumbung dengan kapasiti 25 MWp bagi kawasan perumahan.
“Selain itu, ia juga meliputi pembangunan ladang solar terapung 15 MWp, seluas 37.5 ekar di IJM Rimbayu.
“Pembinaan kemudahan menjana tenaga solar ini dijangka mampu mengurangkan penghasilan 40,997 tan karbon dioksida setiap tahun dan lebih satu juta tan dalam tempoh 25 tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau, kerjasama antara syarikat hartanah dan tenaga boleh diperbaharui (RE) membolehkan kumpulannya memanfaatkan sektor pertumbuhan baharu dalam industri hartanah.
Katanya, IJM Land dan Progressture Solar bakal menggunakan pendekatan Tenaga sebagai Perkhidmatan (EaaS) dalam menyediakan khidmat pengurusan dan perkhidmatan aset tenaga bagi para pemilik rumah di bandar-bandar yang dimajukan IJM Land.
“EaaS global, yang diguna pakai secara berdaya maju dalam pelbagai sektor, dijangka mempunyai pasaran mencecah RM693.21 bilion menjelang 2029.
“Kerjasama ini dijangka beroperasi sejajar dengan pelaksanaan Akses Pihak Ketiga (TPA)
bagi industri bekalan elektrik negara.
“Hal ini membolehkan pihak-pihak lain seperti syarikat jana kuasa bebas (IIP) untuk membekalkan tenaga menggunakan talian transmisi Tenaga Nasional Bhd (TNB),” ujarnya.
Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Progressture Solar, Cliff Siaw Sze Hau berkata, kerjasama dengan IJM Land itu membuka ruang untuk mencorakkan
masa depan pembangunan bandar lestari.
“Sebagai penyedia perkhidmatan dan penyelesaian PV solar serba lengkap, kami berusaha memainkan peranan lebih dinamik untuk menerapkan amalan terbaik RE dalam sektor hartanah.
“Kami ingin menggiatkan usaha seluruh industri hartanah dengan mengguna pakai teknologi yang menyokong sistem PV solar serba maju dan mengoptimumkan penjanaan tenaga,” ujarnya. – UTUSAN