PETALING JAYA: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Malaysia melantik Datuk Ir. Ho Hon Sang dari Equatorial Palms Sdn. Bhd. sebagai Presiden baharunya bagi penggal 2024/2026 menggantikan Datuk NK Tong selepas tamat penggal dua tahun.
Hon Sang mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk NK Tong atas dedikasi dan kesungguhannya selama dua setengah tahun yang lalu dalam usahanya memajukan industri hartanah ke tahap yang lebih tinggi.
“Beliau telah menetapkan piawaian yang sangat tinggi dan saya sedar akan cabaran yang menanti saya sebagai presiden Rehda yang baharu.
“Namun, saya yakin akan dapat meneruskan legasi pencapaian kita sebagai Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) yang responsif, dihormati, bertanggungjawab dan relevan.
“Ini semestinya dengan bimbingan daripada Datuk NK Tong dan presiden-presiden terdahulu, serta sokongan daripada ahli-ahli Majlis Kebangsaan yang lain dan ahli-ahli Rehda secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Pengerusi Rehda Selangor, Datuk Zaini Yusoff dari I&P Group Sdn. Bhd. (S P Setia Berhad) mengambil alih jawatan Datuk Ho Hon Sang sebelum ini sebagai Timbalan Presiden Rehda. – UTUSAN