Harga simen catat peningkatan sehingga 2.1 peratus - Utusan Malaysia

Harga simen catat peningkatan sehingga 2.1 peratus

Kenaikan harga simen membimbangkan kontraktor yang mungkin menaikkan upah pembinaan bagi menampung kos.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks harga seunit simen catat peningkatan antara 0.1 peratus hingga 2.1 peratus bagi beberapa kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Jun lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan tertinggi adalah di kawasan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (2.1 peratus) diikuti Pahang (1.6 peratus) dan Kuching (0.1 peratus).

“Indeks harga seunit batu baur turut merekodkan peningkatan antara 0.4 peratus hingga 0.6 peratus bagi kebanyakan kawasan pada Jun berbanding bulan sebelumnya.

“Peningkatan tertinggi dicatatkan bagi kawasan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dan Kota Kinabalu yang mana masing-masing 0.6 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, perbandingan tahunan untuk tempoh Jun 2023 hingga Jun 2024 menunjukkan indeks harga seunit simen meningkat antara 0.4 peratus hingga 4.7 peratus bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Peningkatan tertinggi direkodkan di kawasan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka & Negeri Sembilan (4.7 peratus), diikuti dengan Tawau (2.2 peratus), Pulau Pinang, Kedah & Perlis (2.0 peratus) dan Pahang (1.6 peratus),” katanya.

Beliau menambah, perbandingan bulanan turut mencatatkan indeks seunit harga struktur keluli dan logam kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Namun, terdapat sedikit penurunan dalam indeks harga bahan tersebut di kawasan Pulau Pinang, Kedah & Perlis dengan penyusutan 0.7 perautus, diikuti dengan Kuching (0.6 peratus) dan Kota Kinabalu (0.2 peratus),” katanya.

Sementara itu, perbandingan tahunan bagi tempoh Jun 2023 dan Jun 2024 menunjukkan indeks harga seunit simen meningkat antara 0.4 peratus hingga 4.7 peratus bagi hampir semua kawasan di Semenanjung dan Timur Malaysia.

Indeks harga seunit besi pula mencatatkan penurunan antara negatif 0.1 peratus hingga
negatif 5.3 peratus pada Jun 2024 berbanding tempoh sama 2023, bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, katanya, perbandingan bulanan Indeks Kos Bahan Binaan (IKB) termasuk bar keluli bagi semua kategori bangunan meningkat antara 0.1 peratus hingga 2.0 peratus bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia.

“Peningkatan tertinggi bagi IKB telah dicatatkan bagi kawasan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan untuk kategori Cerucuk Kayu (2.0 peratus).

“Namun, terdapat sedikit penurunan antara negatif 0.1 peratus hingga negatif 0.3 peratus bagi IKB termasuk bar keluli bagi beberapa kategori bangunan di Johor dan Terengganu dan Kelantan.

“Perbandingan bulanan IKB termasuk bar keluli di Sarawak juga mencatatkan sedikit penurunan iaitu antara negatif 0.1 peratus hingga negatif 0.2 peratus bagi beberapa kategori bangunan di Kuching,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya