Harga minyak sawit mentah diunjur RM4,000 satu tan tahun ini - Utusan Malaysia

Harga minyak sawit mentah diunjur RM4,000 satu tan tahun ini

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: TA Securities mengekalkan unjuran harga minyak sawit mentah (MSM) pada kadar RM4,000 satu tan bagi pada tahun ini dan turun kepada RM3,800 setiap tan pada 2025.

Firma penyelidikan itu berkata, bekalan kacang soya yang dijangka meningkat membuatkan prospek harga MSM sukar untuk diunjurkan pada kadar yang lebih tinggi.

Menurutnya, tindakan kerajaan Indonesia mengurangkan tarif eksport minyak sawit mungkin menimbulkan ancaman kepada eksport minyak sawit Malaysia, yang kehilangan daya saing.

“Sekiranya pengeluaran minyak sawit mengekalkan momentum pertumbuhan yang teguh, ini juga akan membawa kepada lonjakan semula dalam simpanan dan hal ini berpotensi mengehadkan kenaikan harga MSM.

“Kami mengurangkan gandaan nisbah perolehan harga (PER) keseluruhan sebanyak satu hingga dua kali.

“Ini kerana, kami menjangkakan harga MSM akan menurun tidak lama lagi kerana bekalan yang meningkat dan permintaan yang lemah,” katanya dalam nota penyelidikan.

TA Securities tidak menjangkakan satu lagi pelarasan harga yang ketara seperti pada 2022.

Katanya, kebanyakan syarikat perladangan mengalami penurunan pendapatan tahun ke tahun pada suku pertama 2024 kecuali SD Guthrie Bhd., FGV Holdings Bhd. dan TSH Resources Bhd. yang mencatatkan peningkatan sumbangan pendapatan daripada bahagian huluan mereka.

“Sebaliknya, dalam bahagian hiliran, SD Guthrie adalah satu-satunya syarikat mencatatkan keuntungan lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, yang dikaitkan dengan peningkatan permintaan untuk pengilang di Asia Pasifik.

“Berkenaan dengan pengeluaran tandan buah segar (FFB) , SD Guthrie, Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) dan Kim Loong Resources Bhd. mengalami kadar pertumbuhan yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

“Sebaliknya, penanam lain mengalami pertumbuhan produksi FFB yang negatif, berkisar antara 1.4 peratus hingga 9.8 peratus,” katanya.

Firma penyelidikan itu menurunkan rating SD Guthrie kepada ‘pegang’ daripada ‘beli’ dengan harga sasaran baharu RM4.60 berdasarkan PER 2025 sebanyak 21 kali.

Dalam pada itu, SH Resources turut diturunkan kepada ‘pegang’ dengan harga sasaran RM1.22.

Sementara itu, TA Securities masih mengekalkan KLK dan United Malacca Bhd. pada rating ‘pegang’ dengan sasaran harga masing-masing RM22.63 dan RM5.43.

Firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan ‘beli’ bagi pilihan utama mereka dalam sektor ini iaitu 101 Corp Bhd. dan Kim Loong, dengan harga sasaran masing-masing RM4.17 dan RM2.50. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya