Harga emas rekod paras tertinggi dalam sejarah, lebih RM371 segram - Utusan Malaysia

Harga emas rekod paras tertinggi dalam sejarah, lebih RM371 segram

HARGA emas semakin meningkat susulan jangkaan kadar penurunan faedah Amerika Syarikat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga emas melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah semalam, berikutan komen terbaharu daripada pegawai Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) yang meningkatkan jangkaan bahawa akan berlaku penurunan kadar faedah AS pada September.

Kontrak semasa emas mencapai rekod tertinggi AS$79.52 (RM371.66) segram atau AS$2,473.18 (RM11,559.42) seauns pada awal sesi, kemudian meneruskan trend menaik kepada AS$79.54 (RM371.77) segram atau AS$2,474.92 (RM11,541.58) seauns.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pencapaian rekod itu turut disumbang oleh beberapa faktor, terutamanya situasi kadar faedah di AS yang dijangka akan turun pada September nanti.

“Berikutan jangkaan ini, harga emas telah melonjak disebabkan hubungan antara kadar faedah dan harga emas adalah berkadar negatif.

“Selain itu, kebimbangan terhadap faktor geopolitik seperti jangkaan kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya Presiden AS November nanti juga menyumbang kepada permintaan yg tinggi terhadap harga emas.

“Ini berikutan dasar ekonomi Trump yang dijangka bersifat pelindung akan memberi kesan kepada ekonomi global, terutama dari sudut hubungan ekonomi dengan negara China,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Isnin lalu, Pengerusi Fed AS, Jerome Powell berkata, bacaan inflasi baru-baru ini ‘menambah sedikit keyakinan’ bahawa kadar kenaikan harga kembali ke sasaran Fed AS secara mampan, kenyataan yang mencadangkan perubahan kepada penurunan kadar tidak lama lagi.

Gabenor Fed, Adriana Kugler pada Selasa pula menyatakan keyakinan bahawa inflasi kembali kepada sasaran bank pusat AS iaitu dua peratus.

Selain itu, Tabung Kewangan Antarabangsa berkata ekonomi global dijangka berkembang sederhana dalam tempoh dua tahun akan datang di tengah-tengah keredaan di AS, tahap terendah di Eropah serta penggunaan dan eksport yang lebih kukuh untuk China, tetapi risiko masih ada.

Dalam pada itu, SPDR Gold Trust berkata, pegangannya meningkat 0.66 peratus kepada 842.02 tan pada Selasa berbanding 836.53 tan pada Isnin.

Kontrak semasa perak jatuh 0.4 peratus kepada AS$31.26 (RM146.09) seauns, platinum mengukuh 0.1 peratus kepada AS$1,000.62 (RM4,676.35). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN