Harga emas berpotensi lepasi RM410 segram September ini - Utusan Malaysia

Harga emas berpotensi lepasi RM410 segram September ini

DATUK Seri Meer Habib menunjukkan koleksi terbaharu produk emas dan berlian keluaran Habib Jewels ketika ditemui di Kuala Lumpur semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Harga emas berpotensi melepasi AS$2,500 (RM11,710.20) seauns atau AS$88.23 (RM413.07) segram sekiranya Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) menurunkan kadar faedah AS pada September, kata Pengerusi Eksekutif Habib Group.

Datuk Seri Meer Habib berkata, potensi itu bergantung kepada pengumuman kadar faedah AS kerana nilai emas akan melonjak bergantung kepada keadaan geopolitik.

“Namun, dalam menilai harga emas, tiada apa yang pasti. Banyak perkara yang perlu diambil kira, tidak semestinya berkisar kepada AS sahaja. Masalah faktor lain juga perlu dilihat seperti krisis geopolitik Ukraine-Russia, ketegangan di Asia Barat dan sebagainya.

“Jika dilihat, kenaikan harga emas minggu lalu juga didorong oleh kadar inflasi yang menurun. Kadar inflasi itu menyebabkan jangkaan orang ramai terhadap kadar faedah yang dipotong sehingga mereka memberi fokus kepada emas. Oleh itu, jika kadar faedah menurun, terutama pada September ini, maka harga emas berkemungkinan akan naik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini, semalam.

Minggu lalu, harga emas merekodkan paras tertinggi dalam sejarah pada AS$79.52 (RM371.66) segram atau AS$2,473.18 (RM11,559.42) seauns berikutan komen terbaharu daripada pegawai Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) yang meningkatkan jangkaan bahawa akan berlaku penurunan kadar faedah AS pada September.

Dalam pada itu, Meer Habib turut menjelaskan bahawa aktiviti perniagaannya turut meningkat sebanyak 25 peratus berikutan kenaikan harga emas ke paras tertinggi baharu minggu lepas.

“Kenaikan ini didorong oleh aktiviti jual, beli dan pertukaran emas oleh pelanggan. Walaupun harga emas agak mahal ketika itu, masih ramai pelanggan yang turut membeli emas kerana berpendapat harga emas akan naik lagi di kemudian hari.

“Bagaimanapun, bagi saya, kita perlu melihat kepada jangka masa panjang daripada jangka pendek,” katanya.

Tambahnya, kenaikan harga emas secara keseluruhan telah meningkatkan keuntungan syarikat, namun dalam masa sama kos bahan juga turut meningkat.

“Kenaikan harga emas tidaklah melonjakkan keuntungan saudagar emas kerana terdapat juga transaksi penjualan emas oleh pelanggan dan kami juga perlu membeli semula dengan harga yang tinggi mengikut harga semasa.

“Pada minggu lepas misalnya, kami membeli dengan harga yang tinggi, namun minggu ini harga turun, kami perlu menjual mengikut harga semasa emas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN