KENDERAAN pacuan empat roda atau kenderaan lasak terbahagi kepada dua jenis, sama ada berkonsepkan trak atau jenis kenderaan utiliti sukan (SUV).
Jika dilihat daripada sambutan dan kemahuan pasaran, ia semakin bertambah dan semakin ramai yang mampu memiliki kenderaan hebat ini walau harga jualannya mencecah ratusan ribu ringgit.
GWM atau Great Wall Motor daripada China dilihat membawa sedikit kelainan melalui model TANK 300 ini. Menggabungkan ciri-ciri prestasi lasak sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan ruang kabin yang serba mewah dan selesa.
Ikuti kupasan hasil pandu uji yang telah saya lakukan bagi mendapatkan informasi yang lebih menyeluruh.
REKA BENTUK
Dari luaran, Tank 300 ini tidak terlalu banyak berbeza daripada SUV yang berada di pasaran. Ia agak bersegi, tinggi, malah, anda tidak salah jika melihatnya seperti imbasan rekaan Jeep atau Pajero.
Lampu hadapannya berbentuk bulat bagi memberikan imej retro tetapi selain daripada warna-warna selamat yang dipasarkan, Tank 300 ini juga didatangkan dengan warna jingga yang agak garang.
Terus terang, tiada apa yang betul-betul menarik perhatian anda sekiranya hanya melihat dari jauh atau dari bahagian luaran. Roda yang bersaiz 18inci, lampu LED, pintu kelima di belakang dibuka seperti pintu biasa, dan roda kecemasan digantung pada pintu belakang seperti yang dilakukan oleh kebanyakan model-model SUV lain.
Namun melangkah masuk ke ruang kabin dalamannya, anda bagaikan berada dalam satu ‘dunia’ yang lain!
Perkara pertama yang menarik perhatian ialah kerusi atau tempat duduknya yang ‘sporty’. Jenis Semi-Bucket seats serta diselaputi oleh kulit Nappa ternyata mengujakan.
Selain dibaluti oleh kulit yang amat tinggi nilainya, ia juga lengkap dengan sistem ventilasi yang baik. Kecualilah anda berada di Eropah dan memandu pada musim sejuk, kerusi ini juga mampu dihangatkan dengan hanya menekan suis.
Selain itu, bahagian papan pemukanya walau rekaan keseluruhannya tampak bersegi serta menegak dan tidak mempunyai sudut atau lengkungan seni, tetapi corong pendingin hawanya begitu memukau dengan rekaan corong bulat dan berwarna perak.
Papan pemuka masih menggunakan jenis kulit lembut, sama seperti permukaan dalaman pintu-pintunya. Lengkap dengan kesan jahitan kasar yang berwarna putih yang menonjolkan ciri-ciri sporty dalam kabin.
Skrin infotainmennya bersambung terus dengan skrin meter pemandu, dan memberikan dimensi yang luas dari segi pandangan mata. Begitu juga dengan sterengnya yang agak biasa tetapi kemas tanpa terlalu banyak tombol-tombol yang mengelirukan.
Perkara ketiga yang tidak mampu anda elak daripada tertarik ialah tuas gearnya. Ia seolah-olah sebuah tuas pendikit dalam kokpit kapal terbang kerana kecanggihannya.
Ruang tingkap bumbung atau sunroof, walau tidak luas sehingga ke bahagian belakang bumbung, pasti sudah cukup mengujakan anak-anak ketika pemanduan sederhana terutama menjelajah kawasan-kawasan perkhemahan atau hutan-hutan kecil.
PRESTASI PEMANDUAN
Setelah begitu teruja melihat dan merasai sendiri ruang kabin Tank 300 ini, saya diberi peluang untuk memandunya secara ekstrim di sebuah pusat pemanduan kenderaan lasak di Semenyih, Selangor.
Dengan dibantu oleh jurupandu profesional, saya berupaya untuk mengujinya pada permukaan bumi yang ekstrim, seperti menurun ke kecerunan sehingga 30 darjah, meredah air sedalam 700 milileter (roda-roda kenderaan ini tenggelam semuanya ketika meredah air), malah, saya berpeluang menguji sendiri, sistem bantuan pemanduan elektronik Tank Turn iaitu bantuan mengarahkan kenderaan anda mengambil selekoh tajam dalam keadaan permukaan bumi yang licin dan cengkaman yang lemah.
Menguji sistem suspensinya ketika melalui batuan besar dan bonggolan, serta lurah besar yang pastinya merisaukan pemandu untuk melepasi halangan-halangan tersebut, ternyata adalah ‘mainan’ bagi Tank 300 ini. Saya yang berdebar-debar melalui setiap halangan ini kerana seolah-olah dalam pertandingan 4X4 yang ekstrem tetapi dipacu oleh sebuah kenderaan yang ‘mewah.’
Agak terlalu terhad ruangan ini untuk saya huraikan sistem-sistem bantuan elektroniknya tetapi memadai jika dikatakan ia serba lengkap dengan bantuan-bantuan pemanduan ketika dalam off-road yang ekstrem, serta sistem bantuan keselamatan yang terdapat pada kereta-kereta jalan raya seperti ADAS.
KESIMPULAN
GWM Tank 300 ini, walau nampak ‘biasa’ dari luaran, tetapi ‘mewah’ dalam ruang kabinnya, mungkin sudah cukup untuk menarik minat para pembelinya, terutama yang meminati gaya lasak seperti ini.
Namun, suka atau tidak, kenderaan-kenderaan dari China kini mempunyai sistem elektronik yang begitu canggih dan moden, malah lebih moden daripada kenderaan-kenderaan dari Eropah.
Tidak cukup dengan sistem-sistem elektronik moden dalam kabin kereta, sistem bantuan keselamatan pemanduan atas jalan raya dan sistem bantuan pemanduan dalam situasi lasak dan off-road semuanya dilakukan dalam keadaan enjin yang senyap dan mereka yang di dalam kabin tidak akan terganggu akibat suspensi keras.
Ya, kesemua yang saya tulis ini mungkin nampak seperti sebuah dongengan atau percubaan jualan oleh seorang jurujual. Namun, saya sendiri agak tertarik dengan kebolehan Tank 300 sama ada di atas jalan raya biasa mahupun atas permukaan muka bumi yang ekstrem.
Jentera berkuasa 2.0 liter, lengkap dengan Turbo, empat silinder dan menggunakan petrol menghasilkan kuasa tork 380Nm. Malah, tombol dan sistem gear automatiknya mempunyai lapankelajuan, lengkap dengan tuas pertukaran gear pada stereng.
Harga pasaran bermula daripada RM250,000 dengan jaminan seumur hidup untuk enjin dan transmisi (dihadkan hanya untuk pemilik pertama kenderaan), lima tahun upah servis penyelenggaran secara percuma, dan enam tahun jaminan kenderaan tanpa had jarak pemanduan.
Keseluruhan artikel ini seolah-olah terlalu indah untuk dipercayai, maka silalah ke ruang pamer GWM yang berdekatan dengan anda untuk merasai sendiri kehebatan kenderaan terkini daripada GWM ini. – utusan