Go Hub catat premium 128 peratus di Pasaran ACE - Utusan Malaysia

Go Hub catat premium 128 peratus di Pasaran ACE

Cherng Thong (tiga dari kanan) dan Zulkifly (tiga dari kiri) pada majlis penyenariaan Go Hub di Bursa Malaysia, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Go Hub Capital Bhd. memulakan penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities) dengan cemerlang apabila dibuka pada 80 sen, raih premium 45 sen atau 128.57 peratus berbanding tawaran awam permulaan (IPO) 35 sen sesaham.

Sejumlah 43.79 juta saham syarikat penyedia penyelesaian teknologi maklumat (IT) penting dalam industri pengangkutan itu telah diniagakan pada pukul 9 pagi.

Pengarah Eksekutif Go Hub, Tan Cherng Thong berkata, syarikat menggariskan penggunaan strategik hasil IPO untuk meningkatkan operasi dan kedudukan di pasaran dengan memfokuskan pengembangan jejak geografi.

Ujarnya, ia terutamanya di pasaran domestik yang membabitkan projek utama pemasangan di terminal bas di Sabah sejak November 2023.

“Kami juga merancang untuk melaksanakan penyelesaian IT pengangkutan di terminal feri di bawah Inisiatif Digitalisasi Sabah dengan pelaksanaan penuh dijangka pada Mac 2025.

“Selain itu, kami merancang untuk memperkukuh tenaga kerja bagi menyokong pengembangan perniagaan dengan peruntukan sebanyak RM10.1 juta hasil daripada IPO yang diperuntukkan,” katanya selepas majlis penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Bebas Eksekutif Bukan Eksekutif Go Hub, Zulkifly Zakaria berkata, penyenaraian di Pasaran ACE mencerminkan kerja keras dan keazaman pasukan serta keyakinan pasaran terhadap visi dan strategi syarikat.

“Kami bersemangat tentang peluang ini yang akan membawa kelebihan untuk meningkatkan perkhidmatan kami dan meluaskan capaian kami di Malaysia.

“Respon positif pelabur terhadap IPO kami menunjukkan keyakinan pasaran terhadap keupayaan dan potensi pertumbuhan kami,” katanya.

Menerusi IPO yang ditawarkan, Go Hub Capital memperoleh kira-kira RM37.51 juta dengan sejumlah RM24.71 juta diperuntukkan ke arah penembangan perniagaan manakala RM4 juta digunakan bagi pembayaran balik pinjaman bank.

Sejumlah RM4.80 juta adalah untuk keperluan modal kerja dan RM4 juta untuk pembayaran kos penyenaraian.

UOB Kay Hian Securities (M) Sdn. Bhd. adalah Penasihat Utama, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan untuk Go Hub. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya