Genting Plantations dijangka bangunkan projek GDV RM4.6b di Indonesia - Utusan Malaysia

Genting Plantations dijangka bangunkan projek GDV RM4.6b di Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Genting Plantations Bhd dijangka membina projek pembangunan bercampur di Sentul City, Bogor, Indonesia menerusi cadangan pembelian dua bidang tanah di dengan nilai keseluruhan kira-kira RM593 juta.

AmInvestment Bank berkata, kumpulan perladangan dan pembangunan hartanah itu mengumumkan rancangan untuk membeli tanah seluas 80 hektar di Sentul City pada harga RM509.8 juta dan tanah bersebelahan seluas 72 hektar berharga RM83.2 juta.

Katanya, dengan mengandaikan 60 rumah dibina di kawasan seluas satu hektar, ini akan menjadikan kira-kira 9,120 rumah di atas tanah seluas 152 hektar.

“Mengandaikan harga jualan purata RM500,000 seunit, nilai pembangunan kasar (GDV) tanah itu boleh mencecah RM4.6 bilion.

“Dengan mengandaikan margin keuntungan bersih sebanyak 20 peratus, projek itu boleh menjana keuntungan bersih sebanyak RM920 juta atau RM46 juta setahun dalam tempoh 20 tahun. Ini akan menjadi kira-kira 15 peratus daripada keuntungan bersih tahun kewangan 2025 syarikat,” katanya dalam nota penyelidikan.

Bank pelaburan berkata, tanah di Sentul City telah diperuntukkan untuk projek pembangunan bercampur.

“Memandangkan cadangan pengambilan tanah itu hanya akan siap pada suku pertama tahun kewangan 2025, kami percaya bahawa projek di Sentul City hanya boleh dilancarkan paling awal pada tahun kewangan 2026.

“Genting Plantations dijangka tidak akan menghadapi isu membiayai pemerolehan RM593 juta kerana kunci kira-kiranya adalah sihat. Penggearan bersih berada pada 18.9 peratus pada akhir tahun kewangan 2023. Tunai kasar ialah RM1.1 bilion.

“Kami mengekalkan saranan ‘beli’ kepada Genting Plantations dengan nilai saksama RM6.80 sesaham, yang berdasarkan harga kepada pendaparan (PE) tahun kewangan 2025 sebanyak 18 kali.

“GenP kini berdagang pada PE sebanyak 15.5 kali, iaitu di bawah purata lima tahun sebanyak 17 kali,” ujarnya.

AmInvestment Bank melihat secara positif cadangan pembelian itu memandangkan lokasi tanah terbabit adalah strategik kerana terletak 1.8 kilometer di timur pusat beli-belah AEON Sentul City dan IKEA.

Jelasnya, Sentul City adalah sebuah perbandaran yang terkenal dengan penduduk melebihi 30,000 orang dan pihaknya percaya Genting Plantations tidak berdepan masalah untuk menjual hartanah.

Ketika ini, projek hartanah utama Genting Plantations adalah Genting Indahpura di Kulai dan Pura Kencana di Batu Pahat.

Pembangunan hartanah merangkumi 8.3 peratus daripada keuntungan sebelum cukai Genting Plantations bagi tahun kewangan 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN