EV berkembang positif, beri kelebihan kepada industri tempatan - Utusan Malaysia

EV berkembang positif, beri kelebihan kepada industri tempatan

KEMUDAHAN mengecas kenderaan elektrik antara perkara yang perlu diberi tumpuan untuk memacu sektor berkenaan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakar automatif melihat perkembangan kenderaan elektrik (EV) lebih positif bukan sahaja kepada pengguna namun memberi kelebihan kepada pelbagai industri di negara ini.

Pengarah, Automotive Development Centre (ADC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru, Ir. Dr. Mohd. Azman Abas berkata, penglibatan industri EV di Malaysia turut meliputi banyak bidang seperti alam sekitar, perancangan bandar, pemasaran, komunikasi, sains sosial, kesihatan, keselamatan, undang-undang, latihan dan pendidikan.

“Sehingga kini, industri EV telah memberi manfaat kepada sektor ekonomi, industri tempatan, termasuk membuka peluang pekerjaan, pendidikan, penyelidikan, teknologi, harta intelek dan keusahawanan tempatan.

“Saya percaya faedah-faedah ini akan lebih memberangsangkan di masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohd. Azman tidak menafikan harga sebuah EV baharu masih boleh dikatakan tinggi secara keseluruhan berbanding kenderaan enjin pembakaran.

“Harga EV baharu paling murah di pasaran hari ini lebih daripada RM100,000. Ini agak sukar bagi golongan B40 namun, saya melihat kendaraan ini akan masih mendapat sambutan, terutama daripada golongan M40 dan T20.

“Walaupun harga EV baharu adalah tinggi, EV masih ada sambutan kerana pengguna tertarik dengan penjimatan daripada segi kos perjalanan yang kurang (kos pengecasan yang kurang berbanding petrol atau diesel, kos penyelenggaraan yang kurang berbanding kenderaan enjin pembakaran),” katanya.

Turut berpandangan sama, Pakar automatif dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr. Ishak Aris berkata, EV telah mula mendapat langganan daripada peminatnya di negara ini.

“Saya juga mendengar beberapa pengeluar kereta tempatan yang berminat dan dijangka mengeluarkan kenderaan EV yang akan menarik lebih ramai pembeli selepas ini,” katanya.

“Berdasarkan data daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada 2022 hingga 2024, jualan EV meningkat 1.2 peratus sebelum kerajaan melaksanakan pelarasan subsidi diesel,” katanya.

Ketika ditanya mengenai permasalahan penyelenggaran yang dihadapi pengguna EV, beliau berkata, kebanyakan barangan kenderaan itu masih diimport dari negara luar dan kos yang agak yang tinggi.

“Saya merasakan apabila ada pengeluar kereta tempatan yang mengeluarkan EV, harga penyelenggaraan akan berpatutan kerana barangan penyelenggaraan sudah mudah didapati di negara ini,” katanya.

Beliau juga turut berharap, kerajaan dapat menawarkan insentif kepada pengguna EV terutama kepada golongan B40.

Jelas Ishak, kemudahan mengecas EV perlu diperluas dan kadar mengecas tidak terlalu mahal.

“Bengkel baik pulih EV juga perlu ditambah bagi memudahkan pengguna.

“Selain dapat menggalakkan rakyat menggunakan EV, kerajaan juga dapat mengurangkan kadar pencemaran dan pelepasan gas di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya