Duopharma Biotech intai peluang kerjasama di Qatar - Utusan Malaysia

Duopharma Biotech intai peluang kerjasama di Qatar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Duopharma Biotech Berhad (Duopharma Biotech) melihat potensi yang menjanjikan kerjasama selepas sesi perbincangan meja bulat dan rangkaian perniagaan di Doha, Qatar baru-baru ini yang dianjurkan Kedutaan Malaysia.

Perbincangan itu menekankan aksesibiliti produk farmaseutikal halal berkualiti, mempamerkan dan meningkatkan kesedaran serta pemahaman praktikal mengenai standardnya yang perintis seperti standard Malaysia MS 2424 dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) SMIIC 50-1.

Pengarah Urusan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, integrasi amalan terbaik halal dan industri memacu pertumbuhan ekonomi Islam secara global serta serasi dengan standard alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk kelestarian perniagaan.

“Konsep halalan toyyiban adalah satu proses penambahan jaminan selepas standard Amalan Pengilangan Baik (GMP).

“Potensi laluan kerjasama dengan syarikat dan institusi Qatar adalah sebahagian daripada usaha kami meningkatkan kedudukan farmaseutikal halal dalam landskap farmaseutikal global dengan kerjasama pihak berkepentingan di seluruh dunia.

“Kami bercita-cita menghasilkan rangkaian menyeluruh produk halal yang selamat, berkesan dan berkualiti untuk meningkatkan keterangkuman dalam penjagaan kesihatan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Qatar, Zamshari Shaharan berkata, lawatan pasukan Duopharma Biotech sangat tepat pada masanya kerana ia diikuti dengan lawatan rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke sana.

“Tidak lama selepas itu, Perdana Menteri juga telah menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Qatar, terutamanya dalam perdagangan dan pelaburan.

“Tambahan pula, minat yang semakin meningkat dalam barangan dan perkhidmatan halal di Qatar dalam beberapa tahun kebelakangan ini menjanjikan laluan luas untuk kerjasama masa depan antara kedua-dua negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya