PETALING JAYA: Dolphin International Berhad (Dolphin) mengumumkan beberapa inisiatif strategik termasuk cadangan variasi perjanjian jual beli (SSA), penempatan persendirian dan perubahan nama syarikat kepada Oasis Harvest Corporation Berhad.
Pemain industri makanan dan minuman (F&B) tersenarai di Bursa Malaysia dalam kenyataannya berkata, inisiatif tersebut bertujuan untuk mengukuhkan kedudukannya dalam sektor terbabit.
Dolphin melalui anak syarikat milik penuhnya, Asia Poly Food and Beverage Sdn. Bhd. telah memeterai cadangan variasi kepada SSA dengan Datuk Yeo Boon Leong, Yeo Boon Thai, Yeo Boon Ho dan Yeo Soon Bee (secara kolektif, vendor).
Katanya, variasi ini berkaitan dengan pemerolehan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam High Reserve F&B Sdn. Bhd. (High Reserve) untuk RM36.00 juta, di mana syarat pembayaran tertentu akan diubah atau diketepikan.
Disebabkan prestasi rendah kewangan High Reserve Group pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 dan 30 Jun 2024, cadangan variasi itu akan membolehkan Asia Poly Food and Beverage tidak membayar baki RM9.55 juta dan akan menerima RM4.85 juta sebagai pampasan bagi kerugian yang ditanggung.
High Reserve Group menghadapi kemerosotan ketara dalam hasil, menurun daripada RM9.19 juta pada tahun kewangan 30 Jun 2022 kepada RM8.41 juta pada 30 Jun 2023 dan RM7.61 juta pada 30 Jun 2024.
Kemerosotan masing-masing disebabkan oleh penurunan trafik pelanggan di cawangan Uncle Don’s, khususnya di Rawang dan Ipoh.
Kerugian selepas cukai (LAT) High Reserve Group juga meningkat daripada RM0.56 juta pada 30 Jun 2022 kepada RM4.61 juta pada 30 Jun 2023 terutamanya disebabkan oleh pengiktirafan kerugian rosot nilai ke atas pelaburan dalam syarikat subsidiari berjumlah RM3.95 juta.
Pengarah Eksekutif Dolphin International, Ch’ng Eu Vern berkata, rasional di sebalik memasukkan cadangan variasi kepada SSA adalah untuk mengurangkan kesan kewangan daripada prestasi rendah High Reserve Group.
Katanya, langkah tersebut juga untuk menyelaraskan komitmen kewangannya dengan matlamat strategik dengan lebih baik.
“Pelarasan ini membolehkan kami memberi tumpuan kepada usaha niaga yang lebih menguntungkan sambil mengekalkan kunci kira-kira yang sihat,” katanya.
Selain itu, Dolphin mencadangkan penempatan persendirian yang dijangka meningkatkan hasil kasar sehingga RM2.44 juta pada harga terbitan ilustrasi 0.182 sen setiap saham penempatan.
Dana ini terutamanya akan menyokong modal kerja untuk perniagaan F&B dan segmen dagangan syarikat.
Selaras dengan fokus strategiknya dan untuk lebih mencerminkan identiti dan tujuan korporat syarikat yang dikemas kini, Dolphin mencadangkan menukar namanya kepada ‘Oasis Harvest Corporation Berhad’.
Penjenamaan semula ini selaras dengan perniagaan teras dan nilai syarikat, bertujuan untuk meningkatkan keyakinan orang ramai dan penglibatan pihak berkepentingan.
UOB KayHian ialah penasihat utama bagi cadangan dan SCS Global Advisory (M) Sdn. Bhd. telah dilantik sebagai penasihat bebas untuk menasihati para pengarah yang tidak berkepentingan dan pemegang saham yang tidak berkepentingan berhubung dengan cadangan variasi. – UTUSAN